'Mike Tyson pun tumbang!' - Tokram akui GV9 paling berat, ramai bersuara heavyweight

Gempak
September 8, 2022 11:00 MYT
Menurut Tokram, kesemua 13 peserta ini merupakan pejuang seni nyanyian dan tidak main-main dalam berkarya. -Gempak
KETUA juri Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) Datuk Ramli MS meluahkan rasa teruja dengan semua 13 bintang yang bertanding pada tahun ini.
Menurut Ramli atau lebih mesra disapa Tokram, kesemua 13 peserta ini merupakan pejuang seni nyanyian dan tidak main-main dalam berkarya.
“Saya cukup teruja sebab di dalam tu semua yang masuk, mereka nak menyanyi, berkarya, mereka pejuang.
"Itu yang saya cari, mereka berkarya dalam nyanyian. Gelanggang (GV9) inilah yang patut mereka masuk.
“Pada saya ini GV9 paling berat sebab ramai yang bersuara heavyweight, Mike Tyson pun tumbang.
“Minggu pertama memang mereka akan berjoli, masuk minggu kedua, ketiga, mereka akan menyanyi lagu orang.
"Bila menyanyi lagu orang, kami menjuri secara intelektual. Kami nak mereka menyanyi lagu orang, jadikan versi mereka sendiri yang kami tak pernah dengar.
"Sebelum menyanyi memang kami beri 100 markah. Bila menyanyi salah, kami akan potong markah.
“Disebabkan tahap GV9 ni, pada saya semua aspek teknikal nyanyian mereka tidak perlu dipertikaikan dan tak perlu diberi markah.
"Berdasarkan tiga minit atas pentas tu, macam-macam boleh jadi,” ujarnya kepada Gempak.
Tokram ditemui pada majlis sidang media pengumuman 13 peserta GV9 yang diadakan di Menara Kuala Lumpur, Selasa malam.
Selain Tokram, dua lagu juri yang akan menggalas posisi sebagai juri tetap adalah Datuk Syafinaz Selamat dan bonda Hetty Koes Endang.
Bagi Syafinaz sendiri, dia mahu melihat lebih ramai peserta GV9 membawakan lagu penyanyi lain menjadi versi tersendiri.
“Sebenarnya untuk tahun ini saya nak melihat seorang penyanyi rock, dia ambil lagu dangdut dan jadikan lagu itu menjadi versi rock.
“Walaupun saya terbuka, tetapi apabila seorang penyanyi itu menjadikan lagu seorang penyanyi lain itu sebagai lagu sendiri, dengan cara dia, pada saya itu lebih menarik.
“Tapi nak bereksperimen jangan sampai melampau sampai kita tak boleh terima,” ujarnya lagi.
GV9 yang akan mula bersiaran 18 September ini dari Auditorium MBSA Shah Alam menampilkan Nabil Ahmad sebagai pengacara.
Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, naib juara pula akan meraih RM50, 000, tempat ketiga akan menerima RM30, 000, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.
Penerbitan GV9 turut disokong oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi. Manakala Adabi dan CUCKOO turut menghulurkan sokongan selaku Penaja Bersama.
Sidang media ‘GV9’ turut dibawakan dari Menara Kuala Lumpur.
Selain itu, penganjuran GV9 juga dimeriahkan dengan kolaborasi bersama Astro GO, Gempak dan Ria X selaku Rakan Digital serta SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi dan disokong oleh Gegar untuk musim ini.
Eksklusif untuk pelanggan setia Astro, mereka berpeluang untuk menyaksikan GV9 secara LIVE dengan menjawab tiga soalan mudah di astro.com.my/gv9.
Sepuluh pasang tiket sedia untuk dimenangi setiap minggu. -Gempak
#GV9 #Ramli MS #Gegar Vaganza musim ke-9' #juri secara intelektual
;