Midang Midang karya Alena Murang menang Anugerah Penggayaan Terbaik di Argentina
Nickyson Nyambar
Disember 1, 2020 17:52 MYT
Disember 1, 2020 17:52 MYT
KUALA LUMPUR: Penyanyi dan bintang sape kelahiran Sarawak, Alena Murang membanggakan negara apabila diumumkan sebagai pemenang bagi Anugerah Penggayaan Terbaik dalam Festival Video Muzik Bueno Aires 2020.
Kemenangan tersebut diperolehi menerusi karya lagu suku kaum Kelabit yang berjudul, Midang Midang.
Keputusan itu disahkan oleh Alena melalui perkongsian di akaun Instagramnya yang memaparkan keputusan rasmi yang dinyatakan di laman web festival berkenaan.
Ini sekali gus menyaksikan Alena berjaya mengetepikan tujuh saingan lain dari pelbagai negara.
Dalam festival yang sama, bintang berdarah Kelabit-Itali ini turut berjaya menempatkan karya Midang Midang dalam pencalonan Video Antarabangsa Terbaik.
Menariknya dalam kategori itu, pesaing Alena terdiri dari artis terkemuka seperti bintang pop sensasi, Madonna.
Untuk makluman, penggambaran video muzik Midang Midang dilakukan di Bario dan Miri dengan kolaborasi Project Room dan Kanid Studio.
Projek ini turut mendapat sokongan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) serta Majlis Bandar Raya Miri (MBM).
Setakat ini, lagu berdurasi tiga minit 27 saat itu telah menerima lebih 32,000 tontonan di platform YouTube.
Sementara itu, bagi Pengasas Gebriel Padan Artistry, Gebriel Padan yang terlibat sama dalam penghasilan video muzik Midang Midang, kemenangan ini satu momen yang amat bermakna buat pasukan produksi kerana membuktikan anak Sarawak mampu memberikan saingan hebat di peringkat antarabangsa.
“Kemenangan ini amat bermakna buat saya, Alena Murang dan juga pengarah, Sarah Lois. Melalui projek ini kami dapat mempromosikan adat budaya dan juga lagu tradisi di peringkat global," katanya.
Gebriel berkata demikian ketika dihubungi wartawan Astro AWANI Sarawak.
#Alena Murang
#Midang Midang
#Anugerah Penggayaan Terbaik
#Festival Video Muzik Bueno Aires 2020
#Lembaga Pelancongan Sarawak STB
#Video Antarabangsa Terbaik