Michael Ang kembali ke dapur dengan 'Michael Ang's Halal Kitchen' musim kedua

Asyraf Roslan
Julai 2, 2020 14:00 MYT
Musim kali ini akan menyaksikan sutradara terkenal itu memfokuskan kepada hidangan dan sajian antarabangsa dari negara Filipina, Scotland, England, Thailand, dan banyak lagi
PENGARAH drama terkenal, Michael Ang 'kembali ke dapur' untuk program masakan Michael Ang’s Halal Kitchen buat musim kedua.
Pada musim pertama, Michael menunjukkan mengubah cara masakan makanan kegemaran warga Cina tempatan dengan menggunakan bahan masakan yang halal dan sesuai untuk masyarakat beragama Islam.
Musim kali ini akan menyaksikan sutradara terkenal itu memfokuskan kepada hidangan dan sajian antarabangsa dari negara Filipina, Scotland, England, Thailand, dan banyak lagi, menggunakan bahan-bahan masakan yang halal.
Selain memasak, melalui program tersebut juga Michael akan berborak santai bersama dengan artis jemputan mengenai selok-belok kehidupan peribadi serta perkembangan terbaharu mereka dalam kerjaya.
Antara barisan selebriti yang akan bersama dengan pengarah drama Sweet Dreams itu ialah Mark Adam, Amelia Henderson, Diana Danielle, Mawar Rashid, Mona Allen, Jonathan Putra, Ramona Zam Zam dan ramai lagi.
Anda boleh menyaksikan Michael Ang’s Halal Kitchen pada setiap Rabu, jam 9 malam di saluran NAURA (CH109).
Untuk pilihan yang lebih fleksibel, program ini juga boleh distrim secara percuma melalui aplikasi Astro GO, dan secara on demand.
#Astro #England #Filipina #Halal #Islam #Michael Ang #Michael Ang s Halal Kitchen #Scotland #Thailand
;