'MH370: The Plane That Disappeared' undang pertanyaan penonton, teori konspirasi atau dokumentari?
Madiha Abdullah
Mac 11, 2023 12:30 MYT
Mac 11, 2023 12:30 MYT
SIRI dokumentari yang dinanti-nantikan ramai, 'MH370: The Plane That Disappeared' menemui penonton di platform Netflix, bermula Rabu.
Siri tiga episod itu disasarkan untuk menyiasat apa sebenarnya yang berlaku kepada penerbangan Malaysia Airlines yang hilang bersama 239 penumpang pada 2014 itu.
Namun begitu, berdasarkan pemerhatian secara umum reaksi penonton di media sosial, ramai yang terkilan dengan tiga teori yang dipaparkan dalam siri tersebut.
Paling mendapat perhatian apabila juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, disebut sebagai salah satu kemungkinan atau Theory 1 yang membawa kepada kehilangan pesawat berkenaan.
Netizen berpendapat ia seolah-olah salah satu cara untuk meletakkan kesalahan kepada seseorang, dan paling mudah melakukannya adalah pada individu yang sudah tidak ada untuk mempertahankan diri.
Dalam masa yang sama, dokumentari itu dianggap lebih fokus kepada teori konspirasi tanpa hujah kukuh, jauh sekali mahu menjawab persoalan orang ramai tentang apa yang berlaku.
Terdapat juga penonton yang berpendapat siri itu lebih baik dimasukkan sebagai sebahagian daripada siri 'Unsolved Mysteries' di Netflix, dan bukannya dokumentari.
Namun harus diingatkan bahawa tidak semua dokumentari mempunyai jawapan konklusif, sebaliknya hanya paparan penerokaan terhadap teori yang sedia ada.
'MH370: The Plane That Disappeared' memaparkan wawancara dengan ahli keluarga penumpang dan anak kapal yang hilang, penyelidik dan wartawan.
Ramai daripada mereka yang ditemu bual berkongsi pengalaman, selain teori peribadi tentang apa yang berlaku kepada pesawat itu.