Met Gala kembali, kehadiran Rose Blackpink curi tumpuan ramai
Asyraf Roslan
September 14, 2021 09:58 MYT
September 14, 2021 09:58 MYT
SELEPAS dibatalkan penganjurannya pada tahun 2020 susulan penularan COVID-19, acara fesyen terbesar Met Gala kembali tahun ini.
Sudah tentu peminat-peminat menantikan artis kesayangan mereka dengan adi busana yang sangat menawan melintasi lensa kamera di permaidani merah.
Namun apa yang menarik perhatian ramai apabila salah seorang ahli kumpulan Blackpink, Rose membuat kemunculan sulungnya di acara yang dianjurkan majalah fesyen antarabangsa Vogue.
Penyanyi yang popular dengan lagu On The Ground itu hadir ke acara kutipan dana tahunan untuk Metropolitan Museum of Art's Costume Institute di New York City yang mengangkat tema “In America: A Lexicon of Fashion” bersama Pengarah Kreatif Yves Saint Laurent, Anthony Vaccarello.
Selain Rose, antara selebriti lain yang turut hadir memeriahkan Met Gala adalah Emily Blunt, Kendall Jenner, Anya Taylor-Joy, Lupita Nyong’o dan Shawn Mendes.
Dalam perkembangan lain, peminat-peminat juga hampa apabila ada sesetengah selebriti terutamanya selebriti lelaki yang hadir namun tidak memberikan impak yang baik kepada acara tersebut dengan hanya memakai sut hitam.
Peminat juga meluahkan rasa kecewa apabila pelakon dan penyanyi, Zendaya tidak membuat kemunculan pada acara tersebut sehingga kata kunci namanya trending di media sosial.