Meryl Streep, suami berpisah selepas 45 tahun bersama
Agensi
Oktober 22, 2023 11:15 MYT
Oktober 22, 2023 11:15 MYT
SELEPAS 45 tahun berkahwin, bintang Hollywood, Meryl Streep mengumumkan sudah berpisah dengan suaminya, Don Gummer, sejak enam tahun lalu.
Agensi melaporkan, pelakon The Devil Wears Prada, 74, dan Gummer yang juga seorang pengukir, 76, bagaimanapun mengambil pendirian untuk tetap mengambil berat antara satu sama lain.
Media hiburan melaporkan, kali terakhir Streep dan bekas suami dilihat bersama adalah ketika menghadiri acara Anugerah Akademi (Oscar) pada 2018.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Henry, 43, Mamie, 40, Grace, 37, dan Louisa Jacobson, 30. Selain itu, mereka mempunyai lima cucu.
Streep yang juga pemenang trofi Aktres Terbaik Oscar sebanyak tiga kali, dan Gummer menjalin hubungan selepas dipertemukan abang pelakon itu, Harry, pada 1978.
Ketika itu, Streep sedang bersedih meratapi pemergian teman lelakinya, John Cazale, akibat kanser paru-paru.
Streep dan Gummer mendirikan rumah tangga pada tahun sama dan jarang berkongsi kisah peribadi kepada peminat.
Pada 2002, dalam satu temu bual dengan majalah Vogue, Streep dilaporkan membuka mulut mengenai status perkahwinannya termasuk berkongsi tips kebahagiaan iaitu saling bekerjasama, akur kehendak pasangan dan menyimpan rahsia.