MerdekaKU: Visi Tiara lahir generasi seni berketrampilan
Madiha Abdullah
Ogos 26, 2019 14:29 MYT
Ogos 26, 2019 14:29 MYT
Pembabitan beliau dalam bidang seni bukan sekadar demi mengejar kerlipan glamor, sebaliknya beliau punya visi tersendiri yang jauh lebih besar.
Memulakan kerjaya seni sebagai pelakon pada 1988, Puan Sri Tiara Jacquelina seterusnya melebarkan profil sebagai pengarah, aktivis teater dan kini, seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya.
Cinta dan cita-citanya dalam bidang seni sememangnya tinggi melangit.
Visi Tiara, mahu melihat pendidikan menjadi satu aspek penting dalam melahirkan generasi seni yang lebih berketrampilan di masa hadapan.
Penubuhan Enfiniti Academy pada 2011, selari dalam merealisasikan hasrat itu.
"Harapan terbesar saya ialah anak-anak kecil yang datang ke sini akan membesar bukan sahaja untuk menjadi pelakon, penyanyi atau penari. Tetapi saya mahu melihat mereka menjadi individu profesional dan pemimpin yang berfikir dalam bidang masing-masing.
"Kalau mereka jadi guru, mereka akan guru yang punya wawasan berbeza dari zaman dahulu. Kalau mereka jadi jurutera atau saintis, mereka akan jadi pereka inovasi yang hebat dan berani memberi pendapat, untuk kebaikan Malaysia di masa hadapan.
"Itulah hasrat kami, mahu membentuk pemimpin yang berbeza dari yang ada sekarang," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulangtahun kelapan Enfiniti Academy, baru-baru ini.
Selepas lapan tahun, Enfiniti Academy telah melahirkan lebih 7,000 graduan dan ia merupakan satu kejayaan besar bagi sebuah akademi seni seusianya.
Lebih membanggakan, Enfiniti Academy bukan sahaja memperjuangkan pendidikan seni, tetapi juga membentuk aspek sosial pelajar, terutamanya keyakinan diri dan penguasaan bahasa Inggeris.
Seiring dengan kemerdekaan negara yang ke-62, pemenang Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-50 itu mahu setiap penggiat seni bertanggungjawab dalam setiap karya seni yang dihasilkan.
"Melalui kerja-kerja seni, saya ada satu tanggungjawab untuk hasilkan karya-karya yang boleh membentuk jiwa dan memberi inspirasi kepada penonton.
"Tidak semata-mata hiburan yang kosong, tetapi saya akan cuba masukkan elemen mendidik. Itu tanggungjawab yang kita perlu sama-sama pikul, tak kisah dalam bidang apa dan siapa pun kita," ujarnya.
Tiara yang baru-baru ini dinobatkan Pengarah Terbaik di Anugerah Seni Boh Cameronian ke-16 melalui OlaBola The Musical, mahu wanita mengambil peranan lebih signifikan dan tidak takut untuk mengambil langkah ke hadapan.
"Seorang wanita hanya terbatas oleh dirinya sendiri. Saya tidak pernah rasa inferior dengan mana-mana lelaki pun kerana saya tahu saya mampu menghasilkan apa yang lelaki mampu lakukan, malah mungkin lebih baik.
"Tetapi kemampuan itu bergantung atas keyakinan kita juga. Siapa pun kita, ia berbalik kepada kita sendiri, sejauh mana kita mahu pergi. Jadi kita perlu yakin dengan diri sendiri dan beritahu diri sendiri, tiada yang mustahil," tambahnya.
#Anugerah Seni Boh Cameronian
#hiburan
#Merdeka
#olabola the musical
#pelakon
#teater
#Tiara Jacquelina
#wanita