Menora Raja Mawo perjalanan seni yang memikat

Irwan Muhammad Zain
Oktober 10, 2023 11:45 MYT
Penting untuk diingat bahawa Menora Kelantan Raja Mawo adalah satu bentuk seni yang membawa kita kembali ke akar budaya kita. - Gambar ihsan Aswara
DI era moden yang serba pantas ini, kita sering melupakan keindahan seni tradisional yang mewakili jiwa dan identiti negara selama berabad-abad.
Seni teater tradisional membawa kita ke tempat di mana masa merentasi sempadan, ruang menjadi abstrak dan hanya perasaan dan estetika yang berbicara.
Seni adalah cerminan budaya dan di Malaysia, Menora Kelantan Raja Mawo adalah sejenis teater tradisional yang merenung kekayaan warisan kita.
Ia bukan sahaja satu persembahan teater, tetapi juga satu penemuan diri dalam sorotan budaya yang menginspirasi dan memukau.
Bagi Pengarah teater tradisional Menora Kelantan Raja Mawo, Eliza Mustafa, teater tradisional Kelantan itu dibawa ke Kuala Lumpur dengan hasrat memperkenalkannya kepada generasi muda.
"Generasi muda terutama pelajar-pelajar kurang mengenali teater-teater tradisional seperti teater Menora ini.
"Untuk itu, kami berusaha membawakan teater Menora dari Kelantan ke Kuala Lumpur untuk memberikan pendedahan kepada golongan muda khususnya pelajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
"Saya memang menggalakkan pelajar-pelajar saya untuk menonton teater Menora dan memberikan kritikan atau apa yang mereka faham tentang teater tradisional.
"Dengan cara itu secara tidak langsung kita akan memperkenalkan teater tradisional seperti Menora ini kepada masyarakat," katanya kepada Astro AWANI.
Kehadiran tokoh Menora, Eh Chum Cha Di yang berusia 90 tahun menambahkan inspirasi kepada Eliza yang pertama kali mengarah teater tradisional.
"Ketika saya diberi tanggungjawab ini memang saya rasa agak tertekan kerana bukan kepakaran saya dalam bidang ini.
"Tetapi bila tokoh Menora, Eh Chum yang turut dikenali dengan gelaran Pak Situng yang berusia hampir 90 tahun sanggup datang ke Kuala Lumpur, saya anggap itu satu penghargaan.
"Pada saya ini adalah peluang untuk bekerjasama dan dalam masa yang sama belajar dari tokoh menora itu sendiri," katanya lagi.
Pementasan teater Menora Kelantan Raja Mawo diadakan di Dataran Ochestra Hall Aswara pada 7 dan 8 Oktober lalu.
Penting untuk diingat bahawa Menora Kelantan Raja Mawo adalah satu bentuk seni yang membawa kita kembali ke akar budaya kita serta peringatan bahawa keindahan tradisi kita masih hidup dan boleh menginspirasi.
#Menora Kelantan Raja Mawo #teater budaya #Pak Situng #Eh Chum Cha Di
;