Menjelang akad nikah, Mira Filzah mohon maaf
Astro Awani
September 3, 2020 20:47 MYT
September 3, 2020 20:47 MYT
Kurang setengah jam lagi, pelakon jelita Mira Filzah bakal bergelar isteri kepada arkitek, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar.
Sebelum melangkah ke alam rumah tangga, selebriti yang mempunyai 6.7 juta pengikut di Instagram secara terbuka memohon maaf kepada semua yang mengenalinya sekiranya pernah terluka atau berkecil hati sepanjang perkenalan.
Dalam nota yang ditulis sekitar dua jam lalu, Mira berkata, dia mahu memulakan kehidupan baharu di samping Wan Emir Astar dengan penuh ketenangan.
“Assalamualaikum. Bismillahirrahmanirrahim. InshaAllah malam ini Mira akan bernikah. Di sini Mira ingin mengambil kesempatan untuk meminta maaf pada sesiapa sahaja jika ada yang terluka, terkasar bahasa, tersilap kata dan sebagainya, andai ada yang tidak suka atau berasa tidak senang pada Mira, Mira minta maaf.
“InshaAllah I’ll be entering a new phase of life tonight, Mira nak mulakan dengan hati yang bersih dan tenang, dan Mira mengharapkan doa daripada kalian agar majlis majlis ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan,” tulisnya.
Dalam hantaran itu juga, pelakon drama Bidadari Kiriman Tuhan itu juga meminta maaf kerana tidak dapat mengundang ramai tetamu ke majlis pernikahannya dengan anak kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datin Mastura Mohd Yazid ekoran keadaan yang tidak mengizinkan.
“Sekali lagi, andai ada yang bertanya, setiap majlis diadakan secara kecilan, hanya 200 - 250 tetamu sahaja yang dijemput.
“Maaf Mira tak dapat memenuhi permintaan untuk menjemput tetamu lebih ramai. Risau, takut ada sedara mara atau kawan kawan yang terasa. Harap klarifikasi disini menjelaskan semuanya,” katanya.
Mira juga memohon semua pihak agar dapat sama-sama mendoakan dia akan menjadi seorang hamba Allah yang taat pada perintahNya, seorang muslimah yang lebih baik, seorang anak, seorang isteri dan seorang ibu yang baik di masa depan.
Pada pukul 9 malam ini, Mira dan Wan Emir Astar akan melangsungkan pernikahan di sebuah pusat konvensyen di Bukit Kiara.
#arkitek
#bernikah
#Mastura Mohd Yazid
#minta maaf
#Mira Filzah
#pelakon
#Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
#Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar