'Meninggal ketika solat Subuh' – Feeya Iskandar sayu pemergian ibu mentua di bulan baik
Media Hiburan
April 2, 2024 13:09 MYT
April 2, 2024 13:09 MYT
BERBAKI beberapa hari sahaja lagi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, penyampai radio Feeya Iskandar diuji dengan pemergian ibu mentuanya pada Ahad.
Menurut Feeya atau lebih mesra disapa Cik Piah, meskipun agak perit, dia dan suami tetap menerima ketentuan ini dengan hati yang terbuka.
“Ibu mentua saya meninggal pada waktu solat Subuh. Saya dan keluarga sempat mengadapnya ketika dia sedang menghembuskan nafas yang terakhir.
“Arwah pergi dalam keadaan yang sangat tenang, mudah dan pengakhiran yang sangat baik.
“Kita bersyukur dengan amalan arwah di dunia kerana ramai yang datang ziarah,” katanya kepada MH.
Cik Piah berkata demikian ketika ditemui di majlis iftar dan tayangan video raya Suria FM yang berlangsung di Sri Pacific Hotel, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, penyampai segmen Hello Suria ini menyifatkan ibu mentuanya itu sebagai seorang yang sangat memahami dan menyayangi menantunya seperti anak sendiri.
“Walaupun dia ibu mentua, saya sayang dia seperti ibu sendiri. Sepanjang bergelar menantu, saya tak pernah berbalah dengan arwah.
“Kalau bergaduh dengan suami, dia tak pernah nak masuk campur atau nak menangkan anak dia.
“Walaupun kadang-kadang menantunya bangun lambat, tetap layan dengan baik. Namun, saya juga tahu nak tambat hati mentua sebab tahu saya tak sempurna,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Cik Piah akui pemergian ini sangat memberikan kesan buat suaminya saat ini.
“Suami saya anak bongsu. Jadi, dia memang rapat dan manja dengan ibunya. Kalau dia belikan apa-apa untuk ibu dia, saya tak pernah cemburu.
“Saya nampak dia sedih tapi suami dan adik beradiknya yang lain pun sudah reda. Sedih itu pasti sebab kenangan itu masih ada.
"Bila teringat mesti kita sebak tapi hidup harus diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu, Cik Piah memaklumkan dirinya kini sudah memulakan pekerjaan seperti biasa.
“Saya memang sangat sedih. Luaran memang boleh nampak gelak ketawa. Sepatutnya saya masih bercuti tapi saya tetap ‘on air’ seperti biasa.
“Semuanya sudah selamat dan suami pun beri keizinan semalam. Kita tak boleh fikirkan perasaan kita sahaja dan tetap kena berikan komitmen." -Media Hiburan