Menghitung hari bergelar suami, Syafiq Kyle selami ilmu rumah tangga
Faida Rahim
April 13, 2023 23:36 MYT
April 13, 2023 23:36 MYT
KUALA LUMPUR: Bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi, pelakon terkenal Syafiq Kyle mengaku berdebar dan kini dalam proses menghitung hari bergelar suami kepada pelakon Mimi Lana.
Pelakon filem Polis Evo 3 ini juga mengakui banyak mempelajari ilmu rumah tangga sebagai persediaan sebelum menempuh kehidupan baharu kelak.
"Memandangan majlis bakal tiba tak lama lagi, saya ambil pendekatan belajar apa yang perlu dipelajari. Nak jadi suami nak jadi isteri kita kena belajar, bukan sebab kita ada duit kita boleh kahwin.
"Ataupun kita rasa kita dah matang kita boleh kahwin, tapi kita kena teruskan belajar kerana itu persediaan sebelum nak jadi suami," katanya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa bersama para media dan warga kerja Polis Evo 3 di Six In The City 6, Petaling Jaya pada Khamis.
Tambah pelakon berusia 31 tahun itu, persiapan majlis sudah selesai sepenuhnya.
Dalam masa sama, dia berharap para peminat terus mendoakan agar segala urusan perkahwinannya dipermudahkan.
Terdahulu, pada 21 Januari lalu, Syafiq bersama keluarganya merisik Mimi dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup di kediaman dramatis itu.