Mengenang Sudirman: Perlu ada penghargaan lebih besar untuk Allahyarham - Habsah Hassan

Madiha Abdullah
Februari 22, 2022 18:47 MYT
Tanpa bentuk penghargaan yang betul, Habsah berkata, ia akan menjadi satu kerugian besar untuk generasi akan datang. - Gambar fail Bernama
KUALA LUMPUR: Barangkali, tidak keterlaluan untuk menyebut Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad sebagai penghibur kesayangan seluruh rakyat Malaysia.
Tidak kira bangsa, semua pasti biasa mendengar suara Allahyarham.
Jika bukan menerusi melankolik bait-bait cinta nyanyiannya, suara beliau pasti menjadi santapan halwa telinga setiap kali tibanya Hari Raya atau sambutan Hari Kemerdekaan.
Hari ini genap 30 tahun pemergiannya dan selama tempoh itu, legasi Allahyarham terus kukuh di persada.
Namun, untuk seorang seniman seistimewa beliau, tidak cukup hanya dengan kata-kata penghargaan dan bingkisan doa bagi memperingati sejarah gemilang yang pernah dilakarnya.
"Tidak cukup hanya dengan majlis tahlil atau doa setiap tahun. Kita perlukan sesuatu berbentuk fizikal untuk generasi akan datang.
"Kita tidak melahirkan ramai artis yang berkaliber seperti beliau. Negara kena buat sesuatu yang lebih, menjadikan Allahyarham dan karya-karyanya sebagai khazanah.
"Ini warisan bangsa, kita perlu tunjukkan rasa bangga terhadap anugerah Tuhan yang satu ini," kata penulis lirik prolifik, Datuk Habsah Hassan yang juga rakan karib Allahyarham Sudirman.
Tanpa bentuk penghargaan yang betul, Habsah berkata, ia akan menjadi satu kerugian besar untuk generasi akan datang yang mungkin tidak berpeluang mengenali atau mendengar karya-karya Sudirman.
"Muzium Negara atau Arkib Negara boleh lakukan sesuatu. Tuhan sudah anugerahkan kita seorang insan seni yang istimewa seperti beliau, punya pemikiran yang jauh ke hadapan dan bukan setakat memberi hiburan tetapi juga mengingatkan kita tentang kemanusiaan dan semangat cintakan negara.
"Saya tahu beliau sudah diberikan gelaran Datuk oleh negeri Pahang, sekarang saya menunggu pula apa yang akan dilakukan di peringkat nasional.
"Saya dapat tahu pusara Allahyarham juga tidak dijaga dengan baik, ini buat saya rasa sedih dan kesal. Kita bukan nak agungkan beliau tetapi cuma mahukan penghargaan di atas kebolehan dan bakatnya yang tiada ganti," ujarnya ketika ditemu bual dalam Buletin AWANI, hari ini.
Penulis lirik Salam Terakhir itu juga mengimbas momen penghasilan lirik lagu 'berhantu' tersebut dan mengakui tidak pernah terjangka bagaimana naskhah itu memberi impak terhadap perjalanan hidup Sudirman.
"Allahyarham tidak pernah menyuruh saya tulis lirik bertemakan kematian dan pemergian seperti itu. Cuma ada satu masa, kami berdua, bersama beberapa lagi rakan duduk berbual dan Sudirman yang ketika itu masih sihat menyebut tentang kematian dan memberitahu yang beliau rasa akan mati muda.
"Apabila pulang, perkara itu bermain-main dalam fikiran saya sehingga terhasilnya lirik Salam Terakhir. Tidak pernah saya sangka yang beliau benar-benar akan meninggalkan kita semua dalam usia yang muda," kata Habsah mengenang memori yang erat tersimpan di kotak fikirannya.
Allahyarham Sudirman menghembuskan nafas terakhir di rumah kakaknya di Bangsar, Kuala Lumpur pada 22 Februari 1992 akibat radang paru-paru.
Semasa hayatnya, Allahyarham mencipta kejayaan luar biasa antaranya dinobatkan sebagai Penghibur Terbaik Asia di Asian Popular Music Awards pada tahun 1989.
Turut menjadi kenangan manis ialah konsert Sudirman di Chow Kit Road pada 14 April 1986, yang sehingga kini masih memegang rekod konsert terbesar yang pernah dijayakan artis tempatan, dengan kehadiran lebih 100,000 peminat.
Mengenang Sudirman | 30 tahun pemergian Sudirman
#Sudirman Haji Arshad #penyanyi #habsah hassan #hiburan
;