Mengenang Mamat Khalid: Abang... abang... abang!
Opie Sofia
Oktober 30, 2021 11:11 MYT
Oktober 30, 2021 11:11 MYT
SUKA atau tidak, untuk masa sekarang, menerima mesej atau panggilan telefon pada tengah malam ialah sesuatu yang mendebarkan.
Malah melihat gambar hitam putih dalam media sosial juga sesuatu yang turut mengencangkan jantung dan dada.
Layar telefon bermula 24 Oktober lalu penuh dengan warna hitam putih Mamat Khalid.
Beliau pergi dalam tiba-tiba untuk rata-rata kenalannya. Jatuh usai memainkan lagu Apokalips, lagu kegemarannya lalu pergi dalam tenang dalam ambulans merupakan visual terakhir terutama buat si anak, Amen Khalid yang menemaninya hingga hujung nyawa dalam kenderaan tersebut.
Mamat Khalid meninggalkan pelbagai peta kenangan buat kenalan yang mengenalinya rapat atau dari kejauhan.
Rumahnya kini dalam kawasan Masjid Sungai Paloh, Ipoh, Perak sangat damai dan tenang.
Nombor 463, ada pohon bidara di jalan masuk dan ‘jiran’ terbaharunya merupakan seorang imam.
Bunga dan hirisan pandan bertaburan di permukaan ‘rumah barunya’, wangi dan segar. Tiada lagi haruman Paco Rabbane kegemaran sang sutradara.
Kita selalu mendengar, orang baik selalunya pergi dulu, diambil Tuhan. Pemergiaan Mamat walau terasa tertusuk buat ramai yang dekat di jiwa, sebenarnya menghidupkan.
Beliau dalam senarai orang baik, disayang Tuhan dan diambil awal dari kita semua.
Belasungkawa | Air mata Awie, Pekin gugur
BACA: Mengenang Mamat Khalid: 'Tiada kerut pada wajah' - Isteri cerita arwah 'pergi' dalam tersenyum
Berbicara tentang Mamat setelah pemergiannya akan beruntai dengan senyuman. Sedih, pedih namun, jika setiap jiwa yang mengenalinya dengan akrab pasti punya cerita dan kenangan yang tersendiri.
Menariknya, semua cerita ini akan bersulam tawa mahu pun senyum... lantas bersama dengan gelengan kepala seraya menyebut ‘Mamat... Mamat’ atau ’abang… abang’.
Abang jantung hati ramai ini bijak membina kenangan sentimental dan tersendiri buat ramai jiwa, kerana dia seorang pemerhati dan penangkap rasa.
Isterinya, Hasmah Hassan atau senang digelar Kak Intan juga begitu ketika kami (empat rakan media dan mantan penulis) melawat buah hati Mamat ini di kediamannya.
Wajahnya tenang, namun cerita bersulam tawa, tangis dan kemudian bersambung cerita kenangan dahulu dan momen terakhir mereka bersama di Sarang Hub.
Ujar Kak Intan: “Wajahnya tersenyum. Tiada kerutan. Sampai saya masih tidak percaya yang dia sudah tiada.”
Kata ibu kepada lima cahaya mata ini rasanya lebih teruk melihat Mamat di hospital berlamaan berbanding ketika meninggal dunia.
Mamat pergi tenang, sangat tenang. Sambungnya, banyak tuntutan kerja yang sudah tersenarai dalam jadual, tinggal dilaksanakan. Antaranya ialah Kampung Pisang Berbuah Dua Kali dan Dongeng Rakyat.
“Abang nak buat tentang dongeng rakyat. Geli katanya melihat buku kanak-kanak dialih bahasa ke tajuk Puteri Salju. Malaysia mana ada salji,” ketawa Kak Intan mengingat gelagat arwah suaminya.
Mendengar kenangan itu kami semua terangguk-angguk, faham dengan tugasan dan bijaknya seorang Mamat membawa kritikan sosial dan memarhaenkan naskhah untuk rakyat Malaysia yang disayanginya.
Beliau pemegang peluru tepat itu sampai ke jantung khalayak. Pemegang pahat rapat memaku ingatan dan kenangan terhadap karya-karyanya.
Kak Intan menyentuh bahu Amen di sebelah, tahu bahawa tanggungjawab kini bakal dipikul Amen yang sudah berjinak-jinak dalam bidang pengarahan.
“Tengok-tengokkan Amen. Bantu dia, takut nanti dikecam netizen, dibanding-bandingkan,” jiwa seorang ibu memikirkan perjalanan ke hadapan anaknya kelak.
Amen malah sedar bahawa tanggungjawab yang bakal dibawanya besar. Ayahnya legenda dan dia bakal meneruskan legasi itu.
Untungnya Amen kerana Mamat bukan hanya meninggalkan legasi serta tanggungjawab tetapi dalam jalur lain, Mamat sudah membina komuniti tersendiri.
Pada satu malam Amen membalas mesej “Haih, rindu papa”. Lalu disarankan agar teruskan merindu kerana rindu itu ingatan.
Usai tahlil yang diadakan pada Khamis lalu, Amen memberitahu bahawa bagai masih terasa papa tetap bersama keluarga dan kawan-kawan. Mungkin kerana semangatnya.
“Semua tentang diri papa Amen rindu. Kerenah, jenaka, perkongsian ilmu, semangat nasiolisme dan tak terhurai. Tapi yang paling Amen akan rindu ialah main muzik bersama Papa (jamming) dan melihat Papa bekerja… ini akan buat Amen rindu papa.
“Dari kecil lagi, Amen selalu duduk jauh-jauh tengok Papa shooting... bukan duduk saja, duduk sambil belajar, tengok cara dia berkarya dan bekerja. Kadang-kadang duduk sebelah dia di monitor.
“Tengok saja dia bekerja sambil dia kongsi ilmu. Lama-kelamaan Amen belajar dan disebabkan Papa, Amen minat main muzik, filem, bundle dan barang-barang antik,” mesej Amen berbunyi rindu.
Lalu ditanyakan apa hati kecilnya berbisik kini. Dia membalas mesej dengan tulisan tertancap: “Amen wajib siapkan diri dari setiap sudut untuk teruskan berkarya. Contoh siapkan diri, banyakkan membaca, bergaul dan berguru dengan pengarah otai-otai yang ada di Malaysia. Berhijrah menjadi yang lebih baik untuk teruskan perjuangan papa.”
Menerima kenyataan bahawa abang kesayangan ramai ini telah tiada, lambat cernanya.
Ramai masih terngiang suaranya, masih terimaginasi gerak tangannya bercerita dengan sepenuh jiwa dan pasti terdengar-dengar celoteh ceritanya.
Hadamlah dan jadi kenangan dalam cerita. Namun kenyataan tetap nyata. Dia telah tiada.
Satu hal yang ramai juga belajar melalui pemergian Mamat - jangan menunda-nunda.
Kita menunda untuk berjumpa, lupa meminta maaf atas salah lalu dan hujungnya kita bernafas dalam ralat yang tidak beralamat.
* Opie Sofia merupakan penulis hiburan, perunding perhubungan awam, bersahabat dengan ramai karyawan seni tanah air dan kini bertugas sebagai pegawai perantara penerbitan drama bersama stesen televisyen Astro.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.