Mengenang M. Daud Kilau: “Saya akan rindu nyanyian atuk dan panggilan Cek Mek Molek” - Cucu

Ridauddin Daud
Disember 19, 2023 13:00 MYT
Cucu kepada penghibur legenda tanah air, Datuk M. Daud Kilau, Norhasliyana Hassan tidak dapat menahan sebak ketika bercerita mengenai Allahyarham datuknya. - Gambar Astro AWANI
BAGAN DATUK: Cucu kepada penghibur legenda tanah air, Datuk M. Daud Kilau tidak dapat menahan sebak ketika bercerita bagaimana dia akan sentiasa merindui alunan merdu suara datuknya mendendangkan lagu popular Allahyarham, ‘Cek Mek Molek.’
Menurut Norhasliyana Hassan, 33, berkata, setiap kali mereka berbual di telefon, Allahyarham datuknya pasti akan menyanyikan lagu itu.
Tidak cukup itu, kegirangan yang sentiasa mencuit hati Norhasliyana juga ialah, Allahyarham M. Daud juga sering menyapa cucunya itu dengan gelaran ‘Cek Mek Molek.’
Dalam masa sama, Norhasliyana juga pasti akan merindui senyuman manis datuknya yang tidak pernah lekang diukir semasa Allahyarham sihat.
Namun, senyuman manis M. Daud, jelasnya, sudah tidak lagi kelihatan sejak datuknya itu uzur dan sering keluar masuk hospital.
Kali terakhir Norhasliyana bertemu datuknya itu ialah pada Ahad lepas di Hospital Teluk Intan sebelum dikejutkan dengan pemergian seniman rakyat itu keesokan harinya.
“Arwah selalu telefon saya dan akan bertanya cucu atuk buat apa? Lepas tu dia nyanyi lagu Cek Mek Molek pada saya. Jadi, perkara-perkara macam itu akan saya rindui… dan (sudah tentu) senyuman dia.
“Sebab sejak dia masuk hospital hari itu, dia sudah tidak senyum, tak ada...dia bagi respon yang sangat minimal.
“Jadi, kami rindukan dia masa itu. Kami ingatkan kami dapatlah berpeluang untuk bawa dia pergi Kuala Lumpur dan dapat buat rawatan tapi tak sangka itu yang terakhir,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Tuminah Hamidi, di sini, pada Selasa.
[
TERKINI] Mengenang Allahyarham Datuk M. Daud Kilau
Tambahnya, Norhasliyana, meskipun sudah lama sakit namun, kesihatan arwah datuknya sangat merosot sejak beberapa bulan lalu.
“Atuk sakit dah lama tapi tahun ini, kesihatan atuk semakin merosot, amat mendadak daripada bulan Mac hingga bulan Disember tahun ini.
“Atuk kerap keluar masuk hospital. Setiap kali keluar hospital, keadaan semakin tidak baik, makin teruk.
“Jadi, kami reda. Atuk dah tak sakit dah dan atuk pergi dengan cukup sifat sebab sebelum ini doktor nak bedah kaki atuk dan potong. Allah lebih mengetahui,” katanya sambil menyeka air mata.
M. Daud menghembuskan nafas terakhir pada pukul 4.46 petang Isnin di Hospital Teluk Intan.
Allahyarham yang berusia 85 tahun meninggal dunia akibat kencing manis, darah tinggi dan komplikasi jantung.
#M Daud Kilau #M Daud Kilau meninggal dunia #Cek Mek Molek #Masjid Tuminah Hamidi
;