'Memori Tercipta wajib dinyanyikan takut nanti peminat..' - Shila Amzah

Asyraf Roslan
Januari 14, 2023 10:40 MYT
Shila Amzah akan menjelajah ke enam lokasi untuk konsertnya bermula di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah, Singapura dan dua bandar di Indonesia. - Foto IMC LIVE GLOBAL
KUALA LUMPUR: Bak kata pepatah "Kesempatan tidak datang dua kali".
Selesai sahaja dengan program Gegar Vaganza musim kesembilan, penyanyi Shila Amzah tidak melepaskan peluang untuk melancarkan single terbaharunya Jauh Hati.
Tidak tamat disitu pemilik nama Nurshahila Amir Amzah,32, mengumumkan pula bahawa dia akan mengadakan konsert jelajahnya Journey To The Future: Shila Amzah tidak lama lagi.
Memilih Kuala Lumpur sebagai destinasi pembuka tirai, pelantun lagu Tiada Dirimu ini menyatakan bahawa untuk persembahan di Kuala Lumpur sahaja dia akan menyanyikan lebih kurang 90 peratus lagu berbahasa Melayu.
“Lagu graduasi I tak boleh tinggal, Memori Tercipta, itu wajib kalau tak orang bakar kot KLCC tu kalau saya tak menyanyi lagu Memori Tercipta, saya juga akan menyanyikan lagu yang saya cipta untuk peminat saya pada tahun 2015 tajuk dia Tulus, dan juga Patah Seribu,” katanya kepada media pada Jumaat.
Pada masa sama, juara program Masked Singer Malaysia musim kedua ini juga menyatakan bahawa dia dan produksi akan cuba membawa kelainan di setiap lokasi agar peminatnya dapat merasakan pengalaman yang berbeza.
Bagi pemilihan tempat pula, Shila akui terkejut apabila pihak penganjur, IMC Group membentangkan data kepadanya bagi menentukan lokasi konsert jelajah diadakan.
“Sebenarnya untuk penganjur kali ini mereka mempunyai kumpulan yang sangat besar di mana mereka mengambil data mana yang perlu untuk mengenal pasti di mana 'fan base' saya terletak,”
“Bila mereka datang dengan proposal, saya terkejut sebab mereka dah siapkan semua lokasi, untuk persembahan yang besar di Indonesia mereka yang bagi tahu saya, fans you ada dekat bandar ini, bandar ini. Jadi semua di ataurkan oleh IMC group sendiri,” tambahnya.
Konsert Jelajah Shila Amzah akan membuka tirai di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 4 Mac 2023 dan diikuti persembahan di Pulau Pinang dan Sabah.
Tidak terhenti di situ, Shila juga akan terbang ke Singapura dan dua bandar di Indonesia untuk bertemu dengan peminat-peminatnya.
Tiket akan mula dijual bermula 16 Januari 2023 dan boleh didapati dengan harga bermula RM238 (Cat 3), RM338 (Cat 2), RM438 (Cat 1) dan RM648 (VIP).
#Shila Amzah #Journey To The Future Shila Amzah #konsert #Gegar Vaganza
;