Membesarkan anak istimewa bukan pengorbanan tetapi tanggungjawab - Zarina Zainuddin

Gempak
Mac 8, 2017 14:01 MYT
ZARINA: Jangan hina dan pukul anak kita, dekatkan diri kita dengan mereka dan selalu bermain dengannya.
RAMAI mengetahui tentang pelakon Zarina Zainuddin yang tabah membesarkan dua anak kembar autismenya.
Kecekalan pelakon berusia 46 tahun itu dianggap luar biasa oleh kebanyakan wanita terutamanya kaum ibu, lebih-lebih lagi yang berdepan situasi yang sama.
Pengalaman selama 21 tahun mengasuh dan membesarkan anaknya Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Raizal Azrai telah banyak merubah diri dan seluruh kehidupannya.
Sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut hari ini, Astro Gempak kongsikan temu bual eksklusif Zarina Zainuddin supaya ia menjadi inspirasi kepada wanita di luar sana.
1. Astro Gempak: Apa makna wanita pada pandangan Zarina?
Zarina Zainuddin: Wanita adalah makhluk Tuhan yang paling istimewa. Dia kuat besarkan dan menyayangi anaknya sehingga dewasa, tak kira apa sahaja rintangan yang dilalui. Saya boleh katakan, wanita lebih kuat daripada lelaki. Lelaki sebenarnya punya sifat manja. Jika mereka sakit kita boleh lihat mereka lemah.
2. Astro Gempak: Apakah pengorbanan terbesar Zarina sebagai seorang wanita?
Zarina Zainuddin: Saya tidak merasakan apa yang saya lakukan sebagai seorang ibu itu pengorbanan tetapi ianya adalah satu keperluan. Tak dinafikan membesarkan dua orang anak autisme ini bukan mudah tapi dari situ kita boleh menambah pahala dan amal kita kepada Allah. Saya sentiasa meminta pada Allah supaya berilah saya kesabaran dalam membesarkan mereka.
3. Astro Gempak: Apa inspirasi atau kekuatan Zarina selama ini dalam meneruskan hidup membesarkan anak-anak autisme?
Zarina Zainuddin: Sebenarnya kita perlu sentiasa bersyukur dan selalu berdoa kepada-Nya supaya Dia beri kita kekuatan untuk meneruskan hidup. Jika kita bersyukur kita akan jaga amanah Allah itu dengan sebaiknya. Bersyukurlah anak saya masih lagi boleh berjalan dan menguruskan diri meskipun dia ada masalah lain. Ada ibu bapa yang terpaksa menjaga anaknya yang tidak boleh bergerak atau melakukan apa-apa. Jadi kita perlu bersyukur walau apapun.
4. Astro Gempak: Pernahkah Zarina melalui waktu sukar sehingga berputus asa?
Zarina Zainuddin: Kita manusia biasa, ada masa kita tewas. Pernah sewaktu anak-anak masih kecil saya hampir putus asa apabila melihat keadaan mereka yang sering mencederakan diri sehingga berdarah-darah. Saya pernah terdetik untuk meminta Allah tarik sahaja nyawa saya dan anak-anak supaya kami sama-sama mati dan tidak perlu meneruskan hidup lagi. Waktu itu iman saya tidak kuat dan saya seperti mahu mati bersama anak-anak tetapi nasib baik saya cepat tersedar dan memohon ampun kepada-Nya. Kehidupan selepas mati juga bukan mudah seperti yang kita sangkakan.
5. Astro Gempak: Apakah nasihat Zarina kepada ibu-ibu di luar sana yang senasib dengan anda?
Zarina Zainuddin: Jangan hina dan pukul anak kita, dekatkan diri kita dengan mereka dan selalu bermain dengannya. Layanlah anak kita seperti orang lain, bawanya keluar jangan malu. Mereka juga mahu keluar bermain, tonton wayang seperti kita. Layanlah mereka dan ajar mereka tentang kehidupan, insya-Allah mereka akan faham sedikit demi sedikit.
#anak autisme #hari wanita sedunia #ibu dan wanita #pengorbanan #tanggungjawab #Zarina Zainuddin
;