'Memang tiada dalam kontrak' - Isu Adi Putra enggan hadir Mat Kilau Indonesia, Studio Kembara tampil jelaskan

Gempak
Ogos 12, 2022 13:05 MYT
Abdul Rahman (kiri) bingung dengan hantaran Adi (kanan) yang mendakwa pihak mereka sukar dihubungi. - Gempak
“SAYA pun terkejut dan tak tahu apa puncanya.”
Itu respons Penerbit dan Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali berhubung hantaran dimuat naik pelakon utama filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Datuk Adi Putra di Instagram (IG), malam tadi.
Abdul Rahman yang dihubungi Astro Gempak bingung dengan hantaran Adi yang mendakwa pihak mereka sukar untuk dihubungi sekali gus memberitahu keengganannya menghadiri tayangan gala filem tersebut di Indonesia pada 26 Ogos ini.
Menurut Rahman sebelum ini tidak pernah timbul apa-apa isu dengan Adi, bagaimanapun tidak tolak kemungkinan panggilan Adi tidak dibalas kerana mereka mempunyai perbincangan bersama pasukan sehingga lewat malam tadi.
“Saya baru tahu hal ini pagi tadi. Dia (Adi) biasa berhubung dengan seorang staf kami. Mungkin tak dapat dihubungi kerana malam tadi kami ada mesyuarat panjang.
“Tetapi setakat jam 11 malam tadi ketika dia berhubung dengan penulis skrip iaitu adik saya Shaharudin juga tiada apa-apa isu yang timbul.
“Saya tak fikir ada apa-apa salah faham, bagaimanapun saya akan meminta mereka hubungi Adi kembali untuk bertanya lanjut,” katanya kepada Gempak.
Rahman diminta mengulas selepas Adi dalam kenyataan di IG miliknya memberitahu enggan menghadiri tayangan gala filem itu di negara seberang selepas pihak Kembara Studio sukar untuk dihubungi.
BACA: Mat Kilau 'cari' Studio Kembara, kecewa sukar dihubungi?
Menurut Rahman lagi sebelum ini Adi memberi respon yang baik apabila bakal dibawa ke Jakarta untuk tayangan gala filem itu di sana.
“Memang tiada dalam kontrak komitmen pelakon untuk promosi ke luar negara tapi dalam hal ini dia sudah setuju untuk hadir.
“Sepatutnya pada 25 Ogos ini kami bertolak ke sana bersama satu pasukan yang lengkap termasuk pengarah dan pelakon kerana kami anggap ia usaha demi untuk kepentingan industri filem dan negara,” ujarnya.
Tayangan Gala Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan akan diadakan di Jakarta Indonesia pada 26 Ogos ini. Filem itu akan ditayangkan di 200 pawagam di sana selama sebulan bermula 31 Ogos ini. - Gempak
#Mat Kilau #Adi Putra #Studio Kembara #Abdul Rahman Mt Dali
;