Melly Goeslow nyata masih hebat, memukau peminat di Axiata Arena
Bernama
Jun 2, 2024 14:30 MYT
Jun 2, 2024 14:30 MYT
KUALA LUMPUR: Ratu runut bunyi filem, Melly Goeslaw, sekali lagi berjaya menonjolkan kekuatan aura dirinya melalui dendangan lebih 20 lagu di konsert "Ada Apa dengan Melly & Friends” di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi.
Konsert selama lebih dua jam itu nyata memukau kira-kira 9,000 peminatnya yang rata-rata hadir dengan pakaian sekolah, membawa mereka mengimbau semula saat tamat persekolahan melalui lagu-lagi hit penyanyi dan komposer dari Indonesia itu.
Persembahan pemilik nama Melliana Cessy Goeslaw itu disempurnakan dengan iringan okestra yang dipimpin oleh suaminya Anto Hoed sebagai pengarah muzik.
Memulakan persembahan dengan lagu hitnya, Tak Tahan Lagi, kemunculan Melly di atas pentas disambut dengan sorakan serta tepukan gemuruh peminatnya yang datang bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga Singapura kerana terpaku pada kelunakan suara emas artis berusia 50 tahun itu.
"Hello Kuala Lumpur, ayo (jom) happy semuanya hari ini di konsert ini," kata Melly sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Ingin Mencintai dan Dicintai serta Pencinta Wanita.
Sepanjang konsert itu, tidak ada ruang untuk peminat berasa bosan lantaran penyanyi itu begitu bersahaja di atas pentas sambil berdansa mengikut rentak muzik.
Suasana di dalam dewan itu semakin rancak selepas Joe Flizzow tampil berduet, mendendangkan lagu Jika.
Tidak cukup dengan itu, Melly juga memberi kejutan kepada penonton apabila menampilkan penyanyi melonjak naik dan pemenang tempat keempat peringkat akhir America's Got Talent (AGT) musim ke-18, Putri Ariani.
"Saya ingin berterima kasih kepada Putri dan sebab itu saya berikan kepercayaan kepadanya membawakan lagu yang bagiku adalah magma dalam perjalanan karier sebagai pencipta lagu," katanya sambil beredar memberi pentas kepada Putri Ariani membawa lagu Cinta Sejati serta Kamu dan Kenangan.
Kehebatan vokal Melly tidak dapat disangkal lagi apabila mendendangkan lagu Berdua Lebih Baik, Bimbang, Ayat-Ayat Cinta, Gantung dan My Heart, menyaksikan beliau menerima sorakan penuh bertenaga dari setiap sudut dewan.
-- BERNAMA