Melly Goeslow ingin hasilkan karya lebih berkualiti buat artis Malaysia
Bernama
Februari 28, 2024 08:00 MYT
Februari 28, 2024 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Kemenangan yang diraih di Anugerah Gempak Hall of Fame, Ahad lepas menjadi pemacu semangat buat penyanyi dan komposer dari Indonesia Melly Goeslow untuk menghasilkan magis seni serta karya lebih bagus buat artis tempatan negara ini.
Pemilik nama Melliana Cessy Goeslaw, 50, itu berkata meski ada kecaman mengenai kemenangan tersebut, beliau tidak kisah dan mengambil langkah untuk memberi fokus kepada kariernya supaya dapat memberi inspirasi kepada peminat.
"Saya hanya boleh kontrol apa yang keluar dari diri saya. Baik dari kehidupan atau karier tetapi tidak boleh kontrol apa yang orang lakukan, komen dan inginkan daripada saya.
"Kalau buat saya, selama itu saya lakukan di koridor yang benar dan menginspirasi banyak orang, insya-Allah akan menjadi sesuatu yang baik," katanya pada sidang media Ada Apa Dengan Melly and Friends di sini.
Dalam pada itu, ratu runut bunyi filem yang bakal mengadakan konsert keduanya di Malaysia berkata beliau teruja untuk bertemu peminat pada 1 Jun depan tambahan pula dengan keadaan kesihatannya yang lebih baik sejak menjalani pembedahan bariatrik dua tahun lepas.
Baginya, konsert bertemakan malam graduasi itu adalah peluang keemasan dan harapan tertinggi dalam karier seni beliau untuk menyanyi di pentas bersama artis dari negara ini namun rakan duetnya hanya akan ditentukan melalui undian yang bakal dibuka oleh stesen radio ERA buat pendengar.
"Pada konsert akan datang nanti ada penampilannya tetapi nama itu masih belum ada. Saya minta ada penyanyi dari Malaysia. Kalau impian saya, saya mahu nyanyi sama semua ya. Kayaknya (bagaimanapun) belum pernah duet, hanya Yusri (KRU) tetapi penyanyi lain dari Malaysia belum ada, jadi teringin sangat berkolaborasi," katanya sambil menambah beliau akan mengadakan konsert ketiga pada tahun hadapan.
Berkongsi susunan muzik pada persembahan yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, penulis lagu Anto Hoed, 60, berkata ia akan lebih besar berbanding tahun lepas disebabkan keluasan tempat konsert itu.
"Tahun ini susunan muziknya lebih besar kerana tempatnya luas dan pemainnya harus lebih besar dan banyak agar bisa tertutup itu semua tempat di Axiata. Mungkin akan tambah dari segi orkestra daripada 12 kepada 20 orang," katanya.
Mengenai Konsert Ada Apa Dengan Melly and Friends, ia adalah konsep baharu dibawakan untuk peminat dan penyanyi itu tidak hadir berseorangan kerana akan menampilkan rakan-rakan yang pernah berduet serta berkolaborasi dengannya sepanjang lebih dua dekad berkarya.
Terdapat lima pilihan tiket dengan yang dinamakan Sejarah berharga RM228, Pendidikan Jasmani (RM288), Sains (RM328), Sastera (RM428) dan Matematik (RM588).
Tiket boleh dibeli mulai 1 Mac bermula 11 pagi menerusi www.ticket2u.com dan pemegang kad kredit Maybank akan diberi diskaun 12 peratus manakala pemegang kad debit bank sama menerima potongan harga 10 peratus.
-- BERNAMA