Melly Goeslaw, suami ziarah pusara P. Ramlee dan Saloma

Gempak
November 29, 2022 17:31 MYT
Menurut Melly, hasrat untuk menziarah pusara Seniman Agung yang amat dikaguminya itu sudah lama terpendam, namun hanya terlaksana pada kunjungannya ke Kuala Lumpur pada kali ini. - Gambar GEMPAK
PESOHOR muzik Indonesia, Melly Goeslaw bersama suaminya, Anto Hoed dilihat meluangkan masa sekitar setengah jam menziarah pusara Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Allahyarhamah Saloma di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Kuala Lumpur tengah hari tadi.
Melly, 48, mengatakan hasrat untuk menziarah pusara Seniman Agung yang amat dikaguminya itu sudah lama terpendam, namun hanya terlaksana pada kunjungannya ke Kuala Lumpur pada kali ini.
Mengatakan pertama kali jatuh cinta dengan karya P.Ramlee sewaktu hadir mempromosikan lagu Jika duet bersama Ari Lasso lebih 20 tahun lalu, Melly menyifatkan figura kebanggaan tanah air itu sebagai genius.
“Sebenarnya saya sudah lama tidak datang ke Malaysia, tapi dulu sewaktu hadir mempromosikan lagu Jika di sini, saya jatuh cinta dengan karya karya P.Ramlee.
“Hari-hari saya dengar lagu P.Ramlee kerana sangat mengagumi karyanya yang malar segar.
“P.Ramlee adalah genius. Lagu-lagunya tidak ditelan zaman dan ia harus dipelajari dan menjadi rujukan pemuzik muda.
“Jadi saat dilamar Iman Tang untuk melakukan konsert di sini, perkara pertama yang bermain di benak saya adalah mahu menziarah pusara P.Ramlee dan Saloma.
“Saya mahu memberi penghormatan dan sentiasa mengagumi karya karya genius P.Ramlee,” ujar Melly yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang kepada Gempak.
Selain menziarah bersama Anto, pasangan figura hebat itu turut ditemani oleh cucu Saloma, Eddie.
Pelantun lagu Bagaikan Langit yang kembali popular di TikTok dua tahun lalu itu hadir ke ibu negara untuk bertemu media dalam sebuah sidang akhbar Ada Apa Dengan Cinta? yang dijadual berlangsung di sebuah hotel, esok.
* Artikel asal disiarkan di Gempak.
#Melly Goeslaw #P Ramlee #saloma #pusara P Ramlee dan Saloma
;