Melly Goeslaw nekad kuruskan badan buat pembedahan bariatrik

Syahdeen Tahir
Disember 1, 2022 14:12 MYT
Menurut Melly, dia letih untuk menjalankan diet pemakanan sihat lalu mengambil keputusan untuk menjalani pembedahan bariatrik. - Foto Syahden Tahir.
PENYANYI, komposer dan penulis lirik Indonesia, Melly Goeslaw mengakui penat untuk mengamalkan diet secara sihat dalam usaha menurunkan berat badan yang pernah mencecah hampir 100 kilogram.
Katanya, dia bersetuju untuk membuat pembedahan bariatric (pemotongan usus) demi kesihatan yang baik serta menurunkan berat badan dengan lebih cepat.
“Saya nekad untuk potong perut disebabkan berat badan saya yang naik mendadak.
“Jika saya tidak mengawalnya, saya bakal berdepan dengan pelbagai penyakit kronik yang lain.
“Oleh itu, atas nasihat doktor, saya dibolehkan untuk memotong perut bagi mengawal pemakanan serta kandungan gula.
“Sebelum melaksanakan pembedahan tersebut, saya diberitahu doktor menghidap diabetes.
“Selepas mendengar perkara itu, saya tidak mahu buang masa dan segera melaksanakan pembedahan itu demi kesihatan ,” katanya kepada Astro Awani ketika ditemui dalam Majlis Sidang Media Konsert Ada Apa Dengan Melly di ibu negara.
Tambah Melly yang merupakan isteri kepada pemuzik dan komposer Indonesia, Anto Hoed. selepas melakukan pembedahan tersebut dalam tempoh dua minggu, dia hanya boleh minum air putih, air teh serta makan dalam jumlah yang sedikit.
“Sejujurnya pembedahan potong perut ini tidak menyakitkan, melahirkan anak lebih sakit.
“Doktor telah membuang hampir 80 peratus perut saya agar proses pencernaaan makan dapat dilakukan cepat.
“Alhamdulilah, kondisi kesihatan saya semakin baik, badan rasa lebih ringan serta diabetis saya pulih 100 peratus,” ujarnya.
Teruja untuk menghiburkan peminat dalam konsert pertamanya di Malaysia, Melly menjanjikan persembahan bertenaga dan bakal menyajikan 30 buah lagu dalam persembahan selama dua jam.
Pelbagai lagu popular bakal dipentaskan antaranya lagu runut bunyi daripada filem popular seperti Ada Apa Dengan Cinta, Eiffel I'm In Love dan Habibie & Ainun.
Penonton yang hadir wajib memakai uniform sekolah untuk mengimbau kembali kenangan dan memori masing-masing ketika di bangku sekolah.
Konsert Ada Apa Dengan Melly? Live In KL bakal berlangsung pada 3 Februari, 2023 di Plenary Hall Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara.
#Melly Goeslow #Konsert Ada Apa Dengan Melly #pembedahan Bariatrik #konsert sulung di Kuala Lumpur'
;