'Melecehkan' - Suami Jasmin Hamid pilih berdiam diri, pertimbang saman jika komen keterlaluan
Gempak
Jun 5, 2022 12:31 MYT
Jun 5, 2022 12:31 MYT
SUAMI kepada pelakon Jasmin Hamid, Nazmir Abd Rahim enggan mengambil tindakan undang-undang, meskipun ada segelintir netizen yang menabur fitnah terhadap dirinya di media sosial.
Nazmir berkata, proses saman merupakan satu proses yang rumit dan tambahan pula, komen-komen tersebut masih lagi boleh diterima dan tidak bersifat mengaibkan.
“Mungkin orang tengok kami ambil tindakan seperti saman, tetapi ia satu proses yang melecehkan dan bukanlah satu hal yang senang.
"Tambahan pula, tujuan saya memuat naik komen-komen negatif itu adalah sebagai peringatan dan pelajaran kepada semua.
“Sebab zaman sekarang, mereka cukup berani untuk melepaskan benda-benda negatif di media sosial artis.
"Ibaratnya, mereka jadikan ruangan komen sebagai tong sampah, sesuka hati buang apa yang mereka mahu,” katanya ketika dihubungi Gempak.
Nazmir mengulas mengenai komen-komen netizen yang menuduh dirinya sebagai punca Jasmin terkena serangan jantung dan terpaksa dikejarkan ke hospital.
Melanjutkan bicara, Nazmir berkata, selagi komen-komen itu tidak memberi kesan yang teruk, dia akan berdiam diri dan berharap agar si pelaku insaf.
“Mulut orang, kita tak boleh tutup… jadi, asalkan apa yang mereka cakap tu masih tidak keterlaluan, kami diamkan sahaja.
“Lainlah kalau macam kes seorang netizen yang pernah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anaknya dahulu… kes seperti itu kita pertimbangkan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, ditanya mengenai sesi siaran langsung yang dilakukan oleh Jasmin di TikTok ketika masih di hospital, Nazmir berkata, barangkali dia berbuat demikian untuk mempertahankan dirinya dan juga keluarga.
“Sebenarnya doktor dah nasihatkan dia supaya berehat dan jangan banyak cakap. Saya pun tak pasti kenapa dia buat live di TikTok tempoh hari.
"Mungkin dia berbuat demikian untuk pertahankan saya dan juga keluarga,” katanya menutup bicara.
Dalam perkembangan lain, Jasmin yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh dibenarkan pulang semalam.
*Artikel asal disiarkan di Gempak
#Jasmin Hamid
#Nazmir Abd Rahim
#punca isteri kena serangan jantung
#enggan ambil tindakan undang-undang