Media utama negara kenang Biduanita Negara
Muzaffar Mustapa
Julai 6, 2014 17:44 MYT
Julai 6, 2014 17:44 MYT
Hari ini hampir semua akhbar utama meletakkan wajah Biduanita Negara Datuk Sharifah Aini di bahagian utama akhbar masing-masing.
Biduanita Negara itu meninggal dunia pada pukul 1.26 pagi Sabtu di Pusat Perubatan Pakar Damansara dan selamat dikebumikan pukul 12.17 tengahari yang sama di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.
Laman portal Astro AWANI turut memberikan laporan menyeluruh mengenai berita pemergian Allahyarham.
Liputan langsung, galeri foto "Perginya Biduanita Negara" dan video berita tersebut merupakan antara berita yang menerima hits paling tinggi.
Satu program bual bicara khas "Mengenang Sharifah Aini" turut diterbitkan khas oleh Agenda AWANI.
Akhbar mingguan popular tanahair, Mingguan Malaysia dalam kolum yang ditulis oleh Tengku Khalida Tengku Bidin memilih tajuk “Pulangnya biduanita sepanjang zaman”.
Mengimbas zaman kanak-kanaknya, Tengku Khalida mengingati semula kata-kata ibunya yang menyebut, “Sharifah Aini inilah pengganti Saloma, isteri P.Ramlee”.
Kemunculan lagu Seri Dewi Malam sentiasa dinantikan oleh ibu penulis itu.
Akhbar BH Ahad pula memilih tajuk lagu itu sebagai tajuk utamanya, “Tiada Lagi Seri Dewi Malam”, lagu yang cukup sinonim dengan Allahyarham.
Wartawan hiburan terkenal yang kini merupakan koresponden di Jakarta, Saharuddin Musthafa pula menulis pengalamannya bersama Sharifah Aini dalam satu artikel bertajuk “Perginya seniwati sejati”.
Dalam wawancara eksklusif dengan Allahyarham pernah berkata, beliau mahu melalui hari-hari tua dengan kecantikan serta yang paling utama melalui masa depan dengan penuh keimanan.
Akhbar Kosmo Ahad menggunakan status Facebook Sharifah Aini sebagai tajuk muka depannya dalam “Luahan hati Sharifah Aini kepada rakan Facebook jadi kenyataan”.
Foto anak Allahyarham, Aliff Omar yang mengimamkan sembahyang jenazah ibunya turut mendapat perhatian akhbar tersebut.
Pemergian Sharifah Aini turut dirasai Metro Ahad yang mengiktiraf Sharifah Aini setaraf bintang dalam “Kehilangan sebutir bintang”.
Akhbar berbahasa Inggeris seperti NST turut memberikan liputan dengan tajuk berita “Nation pays tribute to Kak Pah”.
Antara berita lain yang turut mendapat perhatian akhbar adalah kehadiran Datuk Siti Nurhaliza di Masjid At Taqwa.
Kehadiran penyanyi yang terpalit sejarah hitam dengan Biduanita Negara itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Ini kerana hubungan kedua-dua bintang popular Negara ini berjaya dipulihkan atas usaha sekumpulan media dalam satu sesi fotografi sempena Hari Raya empat tahun dahulu.
Sosok penyanyi wanita popular negara itu dilihat mengalirkan air mata sewaktu menziarahi jenazah. Foto-foto itu kini berlegar di media sosial.
“Air mata Siti di pusara Sharifah Aini” dipilih oleh BH Ahad manakala Metro Ahad meletakkan “Siti Nurhaliza sebak kenang Sharifah Aini”.
Menurut laporan BH Ahad yang memetik Siti Nurhaliza, “Demi Allah, Siti tak pernah simpan dalam hati apa yang berlaku antara kami dahulu. Apa yang berlaku dulu biarlah berlalu.”.
Media dan wartawan Malaysia akan terus mengingati Allahyarham sebagai antara artis yang berbudi pekerti, pemurah dan akan sentiasa dianggap sebagai kakak.
Al-Fatihah