'Mechamato' bakal ditayang 8 Disember ini
Bernama
September 17, 2022 12:15 MYT
September 17, 2022 12:15 MYT
KUALA LUMPUR: Penggemar siri animasi 'BoBoiBoy' tidak akan mahu terlepas aksi siri dan filem animasi 'Mechamato' ciptaan syarikat MONSTA yang akan ditayangkan tahun ini.
MONSTA dalam kenyataan memaklumkan sempena Oktober yang digelar bulan 'Mechatober', siri animasi 'Mechamato The Animated Series' akan tiba di saluran Netflix bermula 1 Okt ini dengan tayangan dalam enam bahasa berbeza termasuk Korea dan Jepun.
"Pada 3 Okt pukul 6 petang pula, semua penonton akan dapat mengejar siri ini di rangkaian TV9 secara percuma di seluruh negara. Selain itu, laman rasmi YouTube MONSTA CHANNEL akan turut memuat naik siri ini dalam versi bahasa Melayu.
"Tidak hanya terhenti pada bulan Oktober, siri tersebut bakal bersambung sehingga cuti sekolah hujung tahun ini di saluran televisyen tempatan TV3 bermula 4 Dis pada 10.30 pagi," menurut kenyataan itu.
Mechamato memfokuskan kepada seorang budak lelaki bernama Amato dan rakan robotnya Mechabot, yang melawan robot jahat, Amato merupakan bapa kepada watak popular BoBoiBoy.
Sementara itu, filem 'Mechamato Movie' akan mula ditayangkan di pawagam tempatan bermula 8 Dis, bersempena cuti sekolah hujung tahun ini.
"Setelah tiga tahun penantian, kemuncak yang paling dinanti-nantikan oleh para penonton filem tempatan bakal meletup dengan persembahan filem animasi 'Mechamato Movie'.
"Sama-sama kita raikan Mechamato bermula Oktober ini di mana jua anda berada," kata Ketua Jenama dan Jualan Antarabangsa MONSTA Faiz Zainal Aabidin dalam kenyataan yang sama.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Mechamato, filem 'Mechamato Movie' ialah Origin Arc (arka asal) apabila Amato kali pertama berjumpa dengan MechaBot yang terhempas ke bumi dengan robot-robot jahat yang lain.
"Dalam siri Mechamato, Amato dan MechaBot perlu menjejaki kesemua robot jahat yang terhempas dan terlepas di sekitar Kota Hilir (tempat rekaan dalam Mechamato)," menurutnya.
MONSTA juga merupakan pencipta kepada siri animasi BoBoiBoy yang telah berjaya menembusi lebih 70 negara di seluruh dunia dan dialih kepada lebih 12 bahasa.
-- BERNAMA