Md Nasir dipecat sebagai CEO Finas, bakal adakan sidang media hari ini

Sinar Harian
Mei 31, 2023 06:30 MYT
Profesor Dr Md Nasir Ibrahim akan mengadakan sidang akhbar berhubung pemecatan beliau bagi jawatan tersebut. - Gambar fail/BERNAMA
SHAH ALAM: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Profesor Dr Md Nasir Ibrahim akan mengadakan sidang akhbar berhubung pemecatan beliau bagi jawatan tersebut.
Menurutnya, sidang akhbar itu akan dibuat pada jam 12 tengah hari di sebuah hotel di Ampang, Selangor.
"Untuk makluman, pada Rabu saya telah menerima surat pemendekan kontrak saya sebagai CEO Finas dan ia berkuat kuasa mulai 1 Jun.
"Surat itu tidak menyatakan alasan pemecatan. Sehubungan itu, sebuah sidang akhbar akan diadakan oleh saya pada Khamis," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada 31 Oktober 2021, Md Nasir dilantik sebagai CEO Finas bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 November hingga 30 Oktober 2023.
Pelantikan itu bagi menggantikan jawatan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang berakhir 15 Oktober 2021 - Sinar Harian
#Md Nasir #FINAS #CEO #pecat
;