Maya Karin dijelmakan sebagai Puteri Santubong

Astro Awani
Oktober 14, 2021 17:44 MYT
Maya Karin akan memegang watak Ratu Sarawak dari 'kayangan' Puteri Santubong yang disifatkannya sebagai tugas baharu yang menarik, namun, sarat dengan cabaran. - Gambar ihsan MAYA KARIN
KUALA LUMPUR: Selama ini, Maya Karin hanya sering mendengar kisah klasik Puteri Santubong, namun, tidak pernah pula dia mendalami sepenuhnya kandungan naskhah itu.
Justeru, apabila ditawarkan memegang watak puteri pahlawan itu, dia mengambil masa untuk memikirkan sejauh mana kemampuannya untuk mendalami karakter Ratu Sarawak dari ‘kayangan’ itu.
Bagaimanapun, memikirkan tawaran berkenaan akan membantu melengkapkan profil seninya, aktres berdarah kacukan Melayu - Jerman itu membulatkan tekad menyatakan persetujuan.
Ikrar Maya, tawaran yang dihamparkan kepadanya itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi dimensi baharu dalam kerjayanya sebagai anak seni.
Pementasan teater muzikal Puteri Santubong The Warrior Princess secara jujurnya diakui Maya, satu tugas yang berat, namun, bakal menawarkannya pengalaman dan ilmu baharu buatnya.
Selepas sekian lama sinonim dengan karakter ‘hantu’ dalam siri filem Pontianak Harum Sundal Malam, Pontianak Harum Sundal Malam II dan Waris Jari Hantu, tugas baharu yang akan dipikul Maya itu akan melengkapkan satu lagi keinginannya dalam dunia lakonan.
“Saya teruja dengan karakter Puteri Santubong, namun, dalam masa sama, terselit kebimbangan mampukah untuk membawakan watak itu?
“Jujurnya, pelbagai perasaan bermain di fikiran, tapi dengan komitmen dan sokongan penganjur yang memberikan saya keyakinan untuk merealisasikan watak Puteri Santubong di pentas nanti,” kata Maya berkongsi perasaannya dengan Astro AWANI menjelang hari pementasan teater muzikal Puteri Santubong The Warrior Princess.
Teater muzikal Puteri Santubong The Warrior Princess itu akan dipentaskan oleh Kampung Budaya Sarawak yang ditaja Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak.
Puteri Santubong The Warrior Princess akan dipentaskan pada 11 dan 12 Disember ini di Kuching dan ditayangkan secara langsung menerusi www.putrisantubong.com.my.
Sebagai persiapan sebelum ke pentas, Maya kini berada di Kuching menjalani latihan dan mendalami skrip naskhah berkenaan.
Dan selepas berhari-hari ‘menjelmakan’ karakter Puteri Santubong itu, pelakon yang akan meraikan ulang tahun kelahiran ke-42 pada 29 Oktober ini mula merasakan jiwa puteri pahlawan itu sudah mula meresapi dirinya.
“Saya fikir, perjalanan kisah Puteri Santubong dalam versi teater muzikal ini akan memberikan persepsi dan terjemahan baharu kepada penonton mengenai cerita rakyat.
“Ia adalah sebuah kisah kemanusiaan yang dikupas dan disesuaikan dalam era kontemporari, justeru, naskhah ini saya fikir akan mengubah persepsi penonton terhadap kisah dongeng,” kata aktres yang pernah ditabalkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik itu lagi.
Kali terakhir muncul di pentas menerusi pementasan Tun Fatimah di Teater Bangsawan Melaka sekitar dua tahun lalu, Maya mahu mengisi kemunculan baharunya pasca COVID-19 dengan keazaman masyarakat akan memberikan sokongan pada produksi-produksi tempatan.
Kerana itu juga, pelakon itu amat gembira apabila dikhabarkan bahawa pementasan Puteri Santubong The
Warrior Princess dirancang untuk dibawa ke Kuala Lumpur.
“Saya difahamkan teater muzikal ini juga akan dibawa ke Kuala Lumpur. Ia adalah berita yang gembira kerana saya mahu naskhah hebat Puteri Santubong ini diraikan oleh seluruh peminat dan pencinta teater,” jelas Maya penuh teruja.
Selain Maya, pementasan ini juga menampilkan pelakon-pelakon lain seperti Azrel Ismail sebagai Raja Kayangan, Sofi Jikan (Dewa Kejora), Anding Indrawani (Datuk Nakhoda) dan Dewi Liana Seriestha (Putri Sejinjang).
Menurut Penerbit Eksekutif Teater muzikal Puteri Santubong The Warrior Princess, Zaini Zainuddin, pementasan naskhah ini mengupas nilai peradaban manusia di bumi yang diterajui oleh seorang puteri atau Ratu Sarawak dari kayangan, Puteri Santubong.
Puteri Santubong, suatu masa lalu digambarkan memiliki kehebatan dan kerajaan yang diterajuinya sangat gemilang dalam membina peradaban di Nusantara yang membentuk kehidupan baharu terutamanya dalam dunia kesenian muzik dan tari, kraftangan dan sulaman serta sosial ekonomi dalam perikanan dan penanaman.
Pementasan ini kata, Zaini, merupakan usaha untuk membuka dimensi yang berbeza dari persepsi masyarakat terhadap Puteri Santubong sebagai Puteri Pahlawan dan bukannya kisah dongeng yang diterima oleh dua puteri yang memperjuangkan keagungan kecantikan mereka dan kecintaan mereka dengan putera.
#Maya Karin #Puteri Santubong #teater muzikal #Kampung Budaya Sarawak
;