Mawi jelajah masjid, surau di Kelantan lakukan kerja-kerja amal
Astro Awani
Ogos 26, 2020 13:46 MYT
Ogos 26, 2020 13:46 MYT
KETIKA selebriti lain memilih mendekati golongan kurang upaya, warga emas atau gelandangan dalam kerja-kerja kemasyarakatan, bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF), Asmawi Ani pula memilih untuk melakukan kerja amal berkaitan memulihara seni bina masjid-masjid dan surau-surau.
Usaha yang dilakukan Mawi atas platform GOKELANTAN itu akan membawanya menjelajah seluruh negeri Kelantan mengunjungi tempat ibadah umat Islam.
Menurut penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Aduh Saliha itu, selain masjid-masjid dan surau-surau, antara aktiviti lain yang akan dilakukan dalam lawatannya ke negeri itu juga ialah berkunjung ke lokasi-lokasi yang memiliki kisah-kisah berkaitan keagamaan.
“Saya memilih untuk berkhidmat dalam kerja amal di Kelantan kerana negeri ini memiliki ciri ciri yang sangat memberi ketenangan apatah ia digelar sebagai negeri Serambi Mekah.
“Walaupun saya anak jati Johor, namunm berbakti kepada negeri lain adalah bukti sebagai kita semuanya adalah satu. Malaysia itu adalah kita semua,” katanya.
GOKELANTAN merupakan kempen yang dicetuskan oleh Wan Syahrul Amry Wan Mansor yang juga Pengurus Kandungan saluran radio Zayan, Astro.
Sebagai anak Kelantan, Wan Syahrul Amry seperti juga dengan masyarakat tempatan yang berhasrat ingin melihat bumi kelahirannya semaju negeri-negeri lain di Malaysia.
Wan Syahrul Amry bekerjasama dengan Mawi kerana mereka memiliki minat yang sama terhadap kerja amal berkaitan memulihara seni bina masjid-masjid dan surau-surau.
“Saya berharap, lebih ramai selebriti yang akan mengikuti jejak langkah Mawi iaitu dengan memanfaatkan populariti yang dikurniakan Allah SWT,” ujarnya.