Matah Ati: Pahlawan Rubiyah kembali beraksi di Istana Budaya

Astro Awani
April 14, 2015 18:44 MYT
Matah Ati ini ditulis dan diarah oleh Bandoro Raden Ayu Atilah Soeryadjaya, yang juga bertindak sebagai pereka busana dan penerbit.
MATAH Ati akan dipentaskan sekali lagi di Istana Budaya pada awal bulan Mei ini selepas mengadakan persembahan di Singapura, Jakarta dan Solo.
Lakon tari yang mengangkat kisah benar pengorbanan dan cinta di Jawa, Indonesia pada abad ke-18 ini bakal menemui peminat teater selama tiga hari iaitu dari 7 hingga 9 Mei nanti.
"Matah Ati" ditulis dan diarah oleh Bandoro Raden Ayu Atilah Soeryadjaya, yang juga bertindak sebagai pereka busana dan penerbit.
Pengalaman membesar di Istana Mangkunegaran memberi inspirasi kepada beliau untuk menghasilkan satu penceritaan yang kaya dengan budaya dan tradisi Jawa.
Menurut Atilah, Indonesia mempunyai banyak kisah sejarah yang menarik yang memberi inspirasi kepada generasi hari ini, dan kisah kepahlawanan Rubiyah dalam Matah Ati adalah satu daripadanya.
Pementasan Matah Ati ini terdiri daripada mereka yang merupakan golongan profesional dalam bidang tarian. -Foto PT Global 3L
“Seorang isteri Jawa tidak hanya membantu suami di rumah, malah dia akan membantu suaminya dalam apa jua cara. Dalam keadaan terdesak dia akan membantu demi rakyat, demi bangsa, demi apa saja," jelas beliau.
"Matah Ati" mengisahkan seorang gadis kampung bernama Rubiyah yang menarik perhatian seorang bangsawan istana, Raden Mas Said.
Mereka saling jatuh cinta dan berkahwin serta bersama-sama menyertai perang melawan Belanda.
Daripada perkahwinan mereka, lahirlah susur galur Istana Mangkunegaran.
Lakon tari sepanjang 90 minit ini memaparkan budaya dan tradisi Istana Mangkunegaran melalui tarian klasik dan tembang Jawa.
Sebagai penganjur tempatan, Presiden Enfiniti Vision Media, Puan Seri Tiara Jacquelina berkata beliau berbangga dapat bekerjasama dengan pihak produksi Indonesia dalam mengadakan persembahan "Matah Ati" di Malaysia.
“Sejak dipersembahkan pertama kali di Esplanade Theater di Singapura, ramai rakan-rakan saya berkata saya patut menontonnya, namun saya tidak berkesempatan.
“Satu hari, saya diperkenalkan dengan Atilah dan kami pun berbual mengenai perkara ini dan berbincang tentang pertukaran budaya sesama rumpun.
"Akhirnya, masa pun tiba; kami berasa bangga untuk berada sebahagian produksi ini,” ujar Tiara dalam satu sidang media di Istana Budaya hari ini.
Turut hadir adalah pengarah produksi Istana Budaya Ismail Yusof.
Melihat kepada sinopsis penceritaan Matah Ati, beliau berharap persembahan berprestij ini mendapat sambutan yang baik daripada semua peringkat masyarakat.
Dalam masa yang sama, Duta Indonesia di Malaysia, Herman Prayitno berkata beliau melihat perkara ini sebagai kerjasama untuk mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
“Ini suatu yang mengembirakan hati saya, merapatkan hubungan dua negara. Persembahan ini diharapkan bukan sahaja menghiburkan tetamu, tapi dapat menunjukkan bagaimana budaya Jawa itu.
"Mudah mudahan ini dapat menjadi panduan untuk mengenali budaya di Malaysia dan di Indonesia."
Tiket Matah Ati berharga RM70, RM100, RM140, dan RM200 dan boleh didapati di www.airasiaredtix.com, cawangan Rock Corner, cawangan Victoria Music, Artist Gallery di Gurney Plaza dan Queensbay Mall, dan juga di Istana Budaya Box Office.
#Bandoro Raden Ayu Atilah Soeryadjaya #Herman Prayitno #Ismail Yusof #matah ati #Tiara Jacquelina
;