Mat Kilau 'cari' Studio Kembara, kecewa sukar dihubungi?

Hasimi Muhamad
Ogos 12, 2022 11:45 MYT
Adi Putra secara sinis berkata dia boleh menghadiahkan telefon bimbit kepada Studio Kembara selepas dipercayai sukar untuk dihubungi - Foto Instagram/Adi Putra
KETIKA filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan terus mencetuskan fenomena dan sebutan ramai, lain pula kali ini apabila pelakon utama filem Melayu itu, Datuk Adi Putra seolah-olah 'kecewa' dengan syarikat penerbitan filem tersebut.
Perkara itu menjadi tanda tanya ramai pihak terutamanya peminat filem tersebut apabila Adi, yang melakonkan watak utama sebagai Mat Kilau memuat naik hantaran di laman sosial Instagramnya, seperti 'sedang mencari' Kembara Studio Sdn Bhd (Studio Kembara).
Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 41, secara sinis berkata, dia boleh menghadiahkan telefon bimbit kepada Studio Kembara selepas dipercayai sukar untuk dihubungi.
"Assalamualaikum, kepada Kembara Studio Sdn Bhd (Studio Kembara), andai tidak cukup 'handphone' (telefon bimbit) kerana susah nak dihubungi, saya sudi hadiahkan satu 'handphone' agar mudah untuk berkomunikasi dan berurusan," katanya dalam hantaran tersebut, pada Khamis.
Bintang filem terkenal itu berkata, dia terpaksa memilih menggunakan media sosial agar 'mesej' yang ingin disampaikan dapat diterima oleh pihak Studio Kembara.
"Semoga mesej ini sampai ke pihak berkenaan dan semoga Allah permudahkan segala urusan," tambahnya lagi.
Tanpa mendedahkan kemelut yang sedang berlaku, Adi turut mengesahkan tidak akan hadir pada tayangan gala filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan di Jakarta, Indonesia.
Tinjauan Astro AWANI di laman sosial mendapati para peminat secara berseloroh meninggalkan komen menyatakan Mat Kilau sudah marah.
Sementara itu memetik laporan Harian Metro, Penerbit dan Pengarah Urusan Studio Kembara, Abdul Rahman Mt Dali berkata, Adi tidak menghubunginya.
"Bukan saya. Saya pun kawan baru hantar pagi ini, tiba-tiba saja.
"Saya tak pasti siapa yang dia hubungi. Nanti saya dapatkan maklum balas daripada kakitangan siapakah yang dia cuba hubungi," katanya memetik laporan tersebut.
Dalam masa yang sama, Abdul Rahman berkata, setakat pengetahuannya, tidak ada sebarang isu dibangkitkan sebelum ini.
Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dijangka ditayangkan di Indonesia bermula 31 Ogos ini.
BACA: Filem Mat Kilau ke Indonesia selepas kutip hampir RM100 juta
Filem arahan Syamsul Yusof itu merekodkan kutipan tiket berjumlah RM96 juta dalam tempoh 40 hari tayangan bermula 23 Jun lalu.
Selain Adi, filem tersebut dibarisi pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As'ari dan Datuk Jalaluddin Hassan.
#filem Mat Kilau #Adi Putra Mat Kilau #Adi Putra cari Studio Kembara #Kutipan filem Mat Kilau
;