'Masuk rumah rasa lain' - Terkesan pemergian nenek, Zizan Razak jarang beraya di Terengganu

Gempak
April 13, 2024 12:15 MYT
Zizan berkata pemergian arwah neneknya memberi impak yang besar dalam perubahan sambutan hari raya. -Gempak
PELAKON dan pengacara Zizan Razak mengakui dia lebih banyak meluangkan masa di rumah bersama ibunya ketika Hari Raya Aidilfitri selepas pemergian arwah nenek pada 2020.
Anggap raya sebagai waktu berehat, Zizan bagaimanapun memberitahu dia mungkin akan pulang ke Pantai Timur hanya untuk berjumpa bapanya
“Memang dah beberapa tahun saya tak balik kampung. Selepas pemergian nenek, saya banyak duduk di KL. Tapi kalau balik pun mungkin untuk berjumpa bapa di Terengganu.
“Cuti saya tak lama, jadi sudah tentu saya akan luang masa bersama ibu di rumah untuk raya kali ini. Bagi saya, raya inilah waktu saya berehat dan ada masa dengan keluarga.
“Memang banyak tahun saya duduk rumah saja ketika raya. Saudara mara pun beraya di Terengganu, saya saja di KL.
"Mungkin lepas raya, saya akan balik kot,” katanya kepada Gempak.
Pemergian Nenek Beri Impak Dalam Perubahan Sambutan Raya
Dalam pada itu, pelakon filem Polis Evo ini turut memberitahu pemergian arwah neneknya juga memberi impak yang besar dalam perubahan sambutan hari raya.
“Dari sebelum COVID-19 dan nenek meninggal pada 2020, saya rasa perubahan raya sangat luar biasa. Saya balik rumah arwah nenek di Terengganu pun, saya masuk rumah dia rasa lain.
“Selepas arwah nenek tak ada, saya dah tak beraya sangat. Lebih banyak berehat saja. Pemergian nenek memberi impak besar kepada saya dan ibu saya.
“Kita memang dah tak beraya seperti dahulu. Banyak kenangan di rumah arwah, Dungun sebab saya lahir dalam bilik arwah.
"Saya lahir di Dungun tapi membesar di Kuala Terengganu, tapi setiap hujung minggu balik Dungun.
“Saya memang luangkan masa dengan nenek sampai besar tapi bila dah jadi artis agak renggang sikit sebab saya sibuk, itu buat saya agak terkilan,” ujarnya. -Gempak
#Aidilfitri #Zizan Razak #pemergian nenek #jarang balik beraya di Terengganu
;