Masuk hospital di Brunei, isteri mohon doakan kesihatan Yazit

Gempak
Ogos 1, 2017 00:00 MYT
Pada awalnya kesihatan Yazit baik, tetapi hari terakhir dia nampak penat dan mengalami sesak nafas dan semput sehingga tidak dibenarkan menaiki pesawat. - Foto Astro Gempak

ISTERI kepada Yazit Ahmad yang juga bekas pemain dram kumpulan Search, Ramlah Mat memohon orang ramai mendoakan kesihatan suaminya itu agar dapat kembali ke Malaysia segera.

Ramlah berkata, keadaan kesihatan suaminya itu merosot ketika mereka sedang menunggu pesawat untuk pulang di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada Isnin selepas empat hari berada di negara itu.
Berikutan itu, pemain dram lagenda itu gagal untuk pulang ke Kuala Lumpur dari Brunei selepas dilarang menaiki pesawat kerana uzur.
"Kami berada di Brunei sejak Jumaat lalu berikutan suami saya ada undangan menjadi juri sebuah pertandingan nyanyian.
"Pada awalnya kesihatannya baik tapi hari terakhir dia nampak penat dan mengalami sesak nafas dan semput sehingga tidak dibenarkan menaiki pesawat. Dia terus dibawa ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Tambah Ramlah, suaminya diberikan rawatan dialisis bagi membuang air pada paru-paru yang menyebabkan dia menjadi semput.

Bagaimanpun katanya, keadaan semakin stabil biarpun masih berada dalam keadaan lemah.

"Selepas melakukan rawatan dialisis semalam, tekanan darah dia semakin baik dari 180 kepada 108. Tapi dia masih lemah dan tidak boleh berjalan.

"Sepatutnya sudah boleh keluar hari ini tapi pihak hospital minta buat satu lagi dialisis kerana masih ada saki baki air di paru-paru yang perlu dikeluarkan.
"Biasanya sekali dialisis mengambil masa tiga jam, mungkin esok baru kami dibenarkan keluar dan pulang ke Malaysia," katanya penuh harapan.
Pada Julai 2015, Yazid pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat masalah buah pinggang dan jantung.

Sumber: mStar Online

#Brunei #dilarang menaiki pesawat #Hospital #isteri #Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei #Ramlah Mat #search #Yazit Ahmad
;