'The Masked Singer Malaysia' kembali bersiaran 28 Januari
Astro Awani
Januari 13, 2022 15:39 MYT
Januari 13, 2022 15:39 MYT
KUALA LUMPUR: Program pertandingan nyanyian penuh misteri yang pernah mencetuskan fenomena di musim pertamanya sebelum ini, 'The Masked Singer Malaysia' kini kembali untuk musim kedua.
Program tersebut akan mula bersiaran pada setiap hari Jumaat bermula 28 Januari ini pada pukul 9 malam di Astro Warna HD (saluran 107) dan juga boleh distrim secara eksklusif di aplikasi Astro GO dan On Demand.
Seramai 14 selebriti yang terdiri daripada nama-nama hebat dari pelbagai cabang seni seperti penyanyi, pelakon, pelawak, personaliti TV, atlet, pempengaruh media sosial dan ramai lagi bakal bersaing sepanjang 10 minggu program tersebut.
Menariknya, kesemua peserta 'The Masked Singer Malaysia 2' ini akan memakai kostum dari kepala hingga ke kaki dan membuat persembahan misteri.
Karakter yang ditampilkan kali ini adalah Bujang Senang, Nanas, Mat Penyu, Seladang, Teh Tarik Kaw, Harum Manis, Periuk Kera, Aiskrim Roti, Rambutan, Ratu Semut, Orkid, Si Merak ,Burung Hantu dan Pepatung.
Kesemua kostum itu direka khas oleh Akma Suriati Awang, individu yang bertanggungjawab membawakan kostum-kostum pada musim pertama sebelum ini.
Berpengalaman luas dalam rekaan dan perundingan fesyen, beliau bertanggungjawab untuk rekaan kostum bagi pelbagai produksi teater mega seperti ‘Hikayat Merong Mahawangsa’, ‘Siti Di Alam Fantasi’, ‘Mahsuri’, ‘Puteri Gunung Ledang’, dan ‘Chow Kit Road’.
Selain itu, pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat turut menyerikan kostum “The Masked Singer Malaysia 2” dengan sentuhan beliau dalam pelbagaikan gaya kostum ketika persembahan.
Mereka akan beradu tenaga mempersembahkan kehebatan bakat nyanyian masing-masing di hadapan sembilan juri iaitu Datuk Aznil Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella Aminuddin, Remy Ishak, Amy Mastura, Ramona Zam Zam, dan Angah Raja Lawak.
Hanya suara sahaja yang akan dipertaruhkan mereka!
Mereka akan berentap dan menyorokkan kemasyuran dan identiti mereka di sebalik topeng.
Siapakah mereka di sebalik kostum ini? Nantikannya bermula 28 Januari ini!