Masjid hasil pampasan mangsa 6 sekeluarga tragedi MH17 dibuka
Gempak
Mei 14, 2019 14:01 MYT
Mei 14, 2019 14:01 MYT
SEBUAH masjid yang didirikan menggunakan bayaran wang pampasan tragedi MH17 empat tahun lalu telah dibuka kepada orang ramai.
Masjid Al-Ghazali yang terletak di Jalan Depo, Petra Jaya, Sarawak ini cukup memberi makna kepada waris enam sekeluarga yang terkorban.
Pembukaan Masjid Al-Ghazali malam tadi disempurnakan dengan majlis berbuka puasa, solat Maghrib dan Isyak, seterusnya solat Tarawih berjemaah.
Boleh memuatkan 450 jemaah, masjid ini menampilkan reka bentuk Islamik moden yang dilengkapi ruang solat jemaah wanita, tempat wuduk, blok tandas, bilik pejabat dan tempat parkir kenderaan.
Pemilihan tarikh pembukaan masjid juga simbolik kerana tragedi itu sendiri berlaku pada 17 Julai 2014, hari ke-19 umat Islam berpuasa tahun itu.
“Diharapkan wakaf ikhlas ini dapat menjadi dana akhirat arwah sekeluarga. Semoga Allah merahmati keluarga ini,” kata seorang waris terdekat kepada Berita Harian.
Dalam insiden pilu itu, jurutera petroleum, Tambi Jiee, 49, dan isterinya Ariza Ghazalee, 46, bersama empat anak mereka Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 17, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz, 13, yang berasal dari Sarawak telah terkorban selepas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dinaiki mereka ditembak jatuh di Donestk, Timur Ukraine.
Tragedi itu turut mengorbankan 292 penumpang dan anak kapal lain.
#Jalan Depo
#Malaysia Airlines
#Masjid Al-Ghazali
#MH17
#penerbangan Malaysia
#Ukraine
#wang pampasan