Masin jadi pilihan juri, peserta sepatutnya tahu teknik berlawak
Gempak
November 3, 2018 08:30 MYT
November 3, 2018 08:30 MYT
SAINGAN minggu pertama program Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) menyaksikan tiga peserta iaitu Dany, kumpulan 2B dan Kiut berada di kedudukan terendah.
Bagaimanapun, ketiga-tiga peserta tersebut terselamat selepas ketua juri iaitu pelawak Douglas Lim mengumumkan tiada penyingkiran dilakukan pada malam tadi.
"Saya boleh tengok kerja mereka di belakang tabir menerusi analisis daripada persembahan peserta sama ada buat ulangkaji.
"Saya fikir pada minggu pertama, saya boleh melihat siapa yang membuat persediaan tapi ini semua adalah pengalaman buat mereka," katanya pada sidang media selepas program MLM 2018 berakhir malam tadi.
Pada saingan minggu pertama yang membawa tema bebas, Douglas banyak menekankan kepada aspek teknik berlawak ketika memberi komen pada peserta.
"Saya rasa Masin memberikan sesuatu persembahan menarik yang bukan 'sketch' tapi menggunakan elemen 'sketch' seperti 'anchoring' di mana seorang itu diberi 'job killer'.
"Mereka mengekalkan teknik itu tapi bukan dalam bentuk 'sketch' dan pada saya mereka agak pandai menggunakan teknik itu dengan sengaja atau tidak," katanya.
Begitu juga, Douglas menyukai peserta dari kumpulan Taman termasuk salah seorang anggotanya, Man Posmen yang mempunyai karakter dan komitmen yang cukup bagus.
"Jika kawan buat lawak dalam persembahan, jangan senang-senang ketawa dengan lawak sendiri," katanya.
Douglas turut memberi nasihat pada peserta senior agar tidak mempunyai persepsi peserta baru akan tersingkir dahulu tapi semua peserta perlu memberikan persembahan yang berkualiti pada setiap minggu.
"Ini bukan pelawak baru tapi Maharaja Lawak Mega, peserta sepatutnya sudah tahu teknik-teknik ini. Mungkin istilah kurang faham, mereka boleh tanya tapi sebagai pelawak yang boleh dikira profesional sepatutnya teknik sebegini menjadi perkara asas.
"Saya sendiri banyak kali gagal dalam membuat persembahan 'stand up' di atas pentas. Macam 'stand up' komedi, pelawak dapat tahu hanya 1 saat bila lontar 'punchline' penonton tidak ketawa," katanya.
Bagi MLM 2018, empat juri ditugaskan untuk menilai persembahan peserta terdiri daripada Douglas, pelakon popular, Remy Ishak dan Scha Alyahya serta pelakon dari Indonesia, Tya Ariffin.
Seperti mana kata Douglas yang memilih Masin sebagai kumpulan paling menyerlah pada saingan minggu pertama, Tya juga mengakui Masin berjaya memberikan persembahan yang lebih jujur dan memuji kesemua peserta menunjukkan kesungguhan yang baik.
Kesemua peserta dinilai menerusi juri yang mewakili markah sebanyak 70 peratus manakala 30 peratus menerusi aplikasi TikTok.
Berikut adalah kedudukan peserta MLM 2018 berdasarkan undian:
1. Kumpulan Shiro (68.96 peratus)
2. Taman (64.97 peratus)
3. Masin (63.88 peratus)
4. Joras (61.19 peratus)
5. Bocey (57.74 peratus)
6. Puteh (51.38 peratus)
7. Abioso (51.25 peratus)
8. Zero (50.40 peratus)
9. Abata (47.9 peratus)
10. Cilok (38.63 peratus)
11. Hilmy Ashley (34.88 peratus)
12. Dany (34.38 peratus)
13. Kiut (33.44 peratus)
14. 2B (30.96 peratus)
#Douglas Lim
#juri
#Maharaja Lawak Mega
#Masin
#MLM 2018
#pelawak
#penyingkiran
#persembahan
#peserta
#teknik berlawak