Masih tiada aduan rasmi harga tiket Coldplay mahal - KPDN

Sinar Harian
Mei 22, 2023 16:08 MYT
Pada 19 Mei, KKD dilapor akan memanggil penganjur konsert Coldplay bagi mendapatkan maklumat berhubung situasi sebenar isu penjualan tiket konsert berkenaan.
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang aduan berkenaan penjualan semula tiket konsert siri jelajah Coldplay dengan harga yang lebih mahal.
Bagaimanapun jelasnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan mengadakan satu mesyuarat pada petang Isnin bagi membincangkan perkara tersebut.
“Setakat ini, kita tiada terima aduan rasmi berkenaan perkara itu (tiket Coldplay).
"Tetapi secara umum, kami ada dengar perkara itu dipaparkan melalui media sosial dan media arus perdana.
“Petang ini ada satu mesyuarat antara KPDN dan KKD. Jadi, wakil pegawai penguat kuasa akan hadir,” katanya dalam sidang akhbar di sini lobi Parlimen pada Isnin.
Pada 19 Mei, KKD dilapor akan memanggil penganjur konsert Coldplay bagi mendapatkan maklumat berhubung situasi sebenar isu penjualan tiket konsert berkenaan.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pertemuan dengan penganjur konsert itu akan disertai KPDN dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Tambah Salahuddin, sekiranya perkara tersebut memerlukan tindakan daripada KPDN, ia akan dikenakan di bawah Akta Perlindungan Pengguna.
“Kalau jatuh Akta Komunikasi, ia dibawah SKMM. itu kita serahkan kepada KKD. Kalau KKD kata perlu kepada pembelaan atau nasib kepada pembeli, maka kita guna Akta Perlindungan Pengguna,” katanya. - Sinar Harian
#Coldplay #kpdn #aduan pengguna #Salahuddin Ayub
;