Masih tergilakan Aidil Zafuan? Ini jawapan Rita Rudaini
Astro Awani
April 14, 2021 12:54 MYT
April 14, 2021 12:54 MYT
KUALA LUMPUR: Bingung fikiran pelakon Rita Rudaini bila memikirkan sikap segelintir masyarakat yang seakan gemar mencari kesilapannya.
Bukan sekali dua, bahkan sudah berkali-kali namanya sentiasa diheret dalam perdebatan dalam kalangan netizen khususnya mengenai perihal peribadinya.
Dan tentu sekali, dalam setiap perbincangan itu, nama bekas suaminya, Aidil Zafuan Abdul Razak akan diheret sama.
Terbaharu, ketika dia memuat naik hantaran di akaun Instagram mengenai aktiviti kerja sekolah yang dilakukan bersama anak keduanya, Airit Qaqa Arjuna, dia dilabel oleh beberapa pengikutnya sebagai belum ‘move on’ dengan perceraiannya.
Dakwaan sedemikian sebetulnya tidak perlu dibuat oleh netizen kerana tugasan yang diberikan cikgu kepada anaknya itu ialah menyiapkan carta keluarga atau lebih dikenali sebagai ‘family tree’ beserta dengan gambar.
Memandangkan tugasan itu berkisar mengenai susur galur keluarga sudah tentu foto bekas suami Rita yang juga ayah kandung kepada Airit Qaqa perlu dimasukkan sekali.
Kepada sebilangan masyarakat yang rasional, tindakan Rita itu ada betulnya kerana sekalipun dia dan Aidil Zafuan bukan lagi suami isteri, namun, hak lelaki itu sebagai bapa kepada anaknya tidak dinafikan.
Dalam masa sama, meletakkan foto bekas suaminya itu adalah tindakan Rita untuk tidak menafikan hak Airit Qaqa sebagai anak kepada Aidil Zafuan.
“Adakah hanya kerana meletakkan foto Aidil dalam 'family tree' terus saya dilabel sebagai belum ‘move on’… bukankah kenyataannya Aidil tu bapa kepada anak-anak saya? Kalau bukan foto Aidil, nak bubuh muka siapa lagi? Muka suami orang lain?
“Saya juga yakin, kalau tak bubuh foto Aidil pun saya akan dihentam teruk kononnya menafikan hak anak-anak pada bapa mereka. Kenapa asyik cari salah saya?” soalnya penuh tanda tanya dalam satu perbualan dengan Astro AWANI hari ini.
Kata Rita, perpisahan dengan pemain bola sepak itu tidak pernah dijadikan alasan kenapa dia tidak boleh bersikap profesional dengan anak-anaknya apabila membicarakan soal Aidil.
Rumah tangga Rita dan Aidil Zafuan hanya bertahan selama lima tahun. Mereka bernikah pada 2008 dan bercerai pada September 2013.
Hasil daripada perkahwinan itu Rita dan Aidil Zafuan dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 12, dan Airit Qaqa, 10.
Kini, selepas lapan tahun bergelar ibu tunggal, pelakon filem Mami Jarum dan Mistik masih tidak terlepas ditanya tidakkah hidupnya sunyi tanpa kehadiran lelaki bernama suami.
“Alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan sekarang. Saya punya masa yang kualiti dengan dua orang anak yang kini sedang membesar. Dalam masa sama, tumpuan pada kerjaya lakonan juga tidak terjejas. Masa saya benar-benar dipenuhi dengan keluarga, kerjaya dan diri sendiri.
“Lagipun, kalau saya bernikah sekali lagi tentu ada juga kata-kata kurang manis akan kedengaran seperti mana perkahwinan saya sebelum ini. Saya bukan serik, cuma belum terfikir untuk kembali berumah tangga,” kata aktres berusia 45 tahun itu lagi.
#Rita Rudaini
#Aidil Zafuan Abdul Razak
#Airit Qaqa Arjuna
#Airit Rayyan Rizqin
#bekas suami
#gilakan Aidil Zafuan