Masih suami Isteri: "Ini bukan momen gembira untuk sesiapa" - Diana Danielle

Gempak
November 20, 2024 13:46 MYT
Diana enggan lagi dipujuk malah mendakwa segala janji yang ditabur Farid sebelum ini tidak pernah tertunai. - Foto Gempak
PEGUAM mewakili Diana Danielle iaitu Datuk Akberdin Abdul Kadir memaklumkan mahkamah mengesahkan status aktres itu dan aktor Farid Kamil masih suami isteri setelah kembali rujuk pada 31 Ogos tahun lalu.
Akberdin berkata perakuan rujuk perlu diambil di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dokumen itu perlu dibawa ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan untuk permohonan perceraian yang ditetapkan pada 2 Disember ini.
"Mahkamah telah mendengar permohonan rujuk terlebih dahulu. Mahkamah telah mengeluarkan perintah kedua-dua mereka telah kembali sebagai suami isteri daripada tarikh rujuk tersebut.
"Jadi mahkamah arahkan untuk dapatkan perakuan rujuk (sijil) dan bawa ke mahkamah untuk permohonan kedua iaitu permohonan cerai.
"Permohonan pertama (rujuk) sudah selesai, jadi kami akan datang semula ke mahkamah pada 2 Disember untuk permohonan kedua iaitu cerai,” katanya kepada Gempak.
Akberdin berkongsi perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Perseketuan pada Rabu.
Mahkamah menetapkan tarikh 2 Disember depan untuk pihak plantif, Diana Danielle menyediakan dokumen berkaitan rujuk bagi meneruskan prosiding perceraian yang difailkan terhadap Farid Kamil.
Dalam pada itu, Diana yang sentiasa tersenyum memberitahu kegembiraan yang ditonjolkan bukan disebabkan prosiding yang berlangsung sebaliknya dia hanya gembira bertemu dengan para media.
“Bukan gembira tetapi disebabkan saya kenal rakan-rakan media, semua seperti kawan-kawan. Jadi saya senyumlah.
“Ini bukan momen yang gembira untuk sesiapa pun, tolong jangan salah faham,” kata Diana kepada Gempak.
Sementara itu, Diana memaklumkan dia tergesa-gesa untuk pulang kerana mempunyai urusan kerja yang perlu diselesaikan.
“Saya ada urusan kerja yang perlu dilakukan,” ujarnya pendek.
Sebelum ini, pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson, 34, mengejutkan ramai apabila mengumumkan nekad untuk berpisah dan bakal memfailkan perceraian terhadap Farid buat kali kedua.
Pelakon filem Imaginur itu juga enggan lagi dipujuk malah mendakwa segala janji yang ditabur Farid sebelum ini tidak pernah tertunai.
Pada 4 November lalu, Diana hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan bersama peguam untuk memfailkan perceraian terhadap Farid Kamil. -- Gempak
#Farid Kamil #Diana Danielle #permohonan cerai #masih suami isteri
;