Masih sayang, Zizan harap Emma kembali ke pangkuannya
Gempak
Januari 9, 2015 11:32 MYT
Januari 9, 2015 11:32 MYT
Pelakon dan pelawak Zizan Razak mengakui banyak melakukan kesilapan sepanjang percintaannya dengan Emma Maembong.
Malah ketika dihubungi Astro Gempak pada petang Khamis, Zizan turut memohon maaf kepada bekas kekasihnya itu.
"Saya ingin memohon maaf kepada Emma kerana telah banyak melakukan kesilapan sepanjang perkenalan kami.
"Saya akui banyak melukakan hati Emma dengan tidak memberikan perhatian sepatutnya terhadap hubungan kami," katanya.
Apabila ditanya mengenai kereta mewah sebagai punca perpisahannya dengan Emma, pelakon berusia 30 tahun itu tidak menolak perkara tersebut.
"Sebenarnya saya memang seorang yang gilakan kereta...Selama ini saya banyak menghabiskan masa dengan aktiviti berkereta selain kerja saya.
"Timbul salah faham apabila saya asyik dengan aktiviti-aktiviti tersebut sehingga terlupa tentang kekasih hati yang sentiasa sabar dengan saya," ujarnya.
Selain itu, Zizan akui masih menyayangi Emma dan berharap agar hubungan mereka kembali seperti sedia kala.
"Saya masih sayangkan Emma...Jujur saya katakan cinta saya kepada Emma tidak pernah berubah. Saya berharap agar dia kembali ke pangkuan saya," katanya yang sukakan sifat sederhana Emma itu.
Zizan turut mengharapkan para peminat dapat mendoakan hubungannya dan Emma berakhir di jinjang pelamin. -- Astro Gempak