Masih ada yang selesa dengan media cetak - Pengarang EH!
Asyraf Roslan
Julai 26, 2019 15:00 MYT
Julai 26, 2019 15:00 MYT
Kemajuan zaman digital kini membuatkan ramai antara kita yang sudah beralih ke bahan bacaan digital.
Namun, ia bukanlah satu alasan untuk terus melupakan media cetak.
Ketua Pengarang Majalah EH!, Khairul Abidin menyatakan masih ada pembeli yang lebih selesa dan suka untuk mendapatkan media cetak.
“Dengan perkembangan teknologi kini, kita perlu seiringkan media cetak dan media digital kerana kita tidak boleh melawan perkembangan meskipun kita melihat ramai yang lebih memberi tumpuan kepada media digital.
"Pada masa yang sama, kita tidak boleh melupakan media cetak kerana kita masih ada kumpulan yang lebih selesa dengan media cetak kerana mereka mudah untuk mendapatkannya,” katanya ketika ditemui di Anugerah Stail EH! yang berlangsung di Equatorial Plaza, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Anugerah Stail EH! yang masuk tahun ketujuh penganjurannya mempertaruhkan 20 kategori sempena ulang tahun EH! yang ke-20.
Antara kategori yang dipertandingkan ialah Video Muzik Paling Stylish, Pasangan Selebriti Pilihan, Selebriti Pencapaian Terbaik, dan Selebriti ‘True Colour’.
Menurut Khairul, anugerah ini diadakan setiap dua tahun bagi memudahkan mereka untuk melihat perkembangan dan perubahan yang dibawakan oleh selebriti tanah air dalam industri hiburan.
Hadir memeriahkan malam anugerah ialah, Scha Alyahya, Awal Ashaari, Sissy Iman, Aedy Ashraf, Neelofa dan pereka fesyen tanah air, Datuk Rizalman.
Malam anugerah Stail EH! 2019 turut mendapat kerjasama dari rakan media Astro Ria, Hlive! Dan Astro Gempak selaku rakan media rasmi.