"Masalah rumah tangga selesai sendiri, jangan libatkan pihak ketiga" - Hisyam Hamid
Gempak
Julai 12, 2019 14:00 MYT
Julai 12, 2019 14:00 MYT
PELAKON terkenal, Hisyam Hamid mengakui, perselisihan faham antara suami isteri dalam institusi rumah tangga perlu diselesaikan menerusi perbincangan.
Bagi aktor yang berasal dari Singapura itu, tiada sebab untuk pasangan suami isteri mengheret pihak ketiga, misalnya keluarga untuk mencampuri urusan membabitkan rumah tangga, melainkan jika berdepan dengan keadaan yang benar-benar memerlukan.
"Sepanjang berkahwin selama 13 tahun kalau ada masalah antara saya dan isteri kami akan menyelesaikannya sendiri. Saya percaya kalau ketika senang berdua kenapa bila ada masalah nak libatkan semua orang?
"Selesaikan masalah 'behind the close door'. Melainkan jika masalah itu memerlukan pandangan daripada pihak ketiga seperti keluarga yang lebih matang," katanya kepada Gempak.
Mengulas mengenai keretakan rumah tangga dalam kalangan selebriti yang semakin meruncing sejak akhir-akhir ini, tambah Hisyam, perihal jodoh terlalu subjektif untuk dibahaskan.
"Perceraian adalah perkara yang sangat peribadi bagi mereka yang melalui fasa itu. Tak ada yang berkahwin mahu berpisah, semua ingin ke syurga.
"Apa yang saya boleh kongsikan dugaan rumah tangga itu akan ada, jadi saya dan isteri praktikkan komunikasi dan persefahaman di rumah.
"Kalau ada masalah cuba sedaya upaya selesaikan secepat mungkin, semakin lama diperam perkara itu akan jadi semakan negatif," ujar Hisyam lagi.
Dalam perkembangan terbaharu, Hisyam bakal muncul menerusi filem televisyen Geng yang melakonkan watak ketua gangster bernama Alex.
Geng mengisahkan tiga sahabat baik Isabella, Mariam dan Anita yang memilih untuk membawa haluan masing-masing selepas tamat persekolahan.
Bagaimanapun, mereka kembali bertemu disebabkan satu peristiwa yang mengubah kehidupan mereka.
Jangan lupa saksikan Geng mulai 18 Julai ini di Astro First Eksklusif (480).