'Masa itu nampak putih saja' - Nora Ariffin cerita detik bertarung nyawa di ICU
Gempak
Disember 7, 2023 18:27 MYT
Disember 7, 2023 18:27 MYT
PENYANYI Datuk Nora Ariffin hanya memikirkan soal kematian ketika bertarung nyawa akibat sesak nafas dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) baru-baru ini.
Cerita Nora, pada mulanya dia menerima rawatan di sebuah hospital di Bangi disyaki demam panas.
“Asalnya hanyalah demam, kemudian pergi check klinik disyaki denggi. Bila ke hospital, rupa-rupanya bukan denggi tapi saya masih demam.
“Syak mungkin ada jangkitan, biasalah kalau ke hospital akan drip semua. Mungkin ada masalah teknikal jadi terlebih drip dan paru-paru saya penuh air. Macam lemas, tak boleh bernafas.
“Ketika itu saya mengucap, tak apalah… dah tiba masa saya. Saya bertaubat dan mengucap. Ingat Allah saja, masa tu nampak putih saja, tak nampak apa, tak rasa apa.
"Saya rasa dada tertarik, ketika itu dalam kepala ‘kalau inilah masanya, saya reda’.
“Kemudian, saya minta maaf dengan suami dan terus dimasukkan ke ICU untuk keluarkan air dalam paru-paru.
"Kata doktor saya mungkin kena small heart attack,” ceritanya kepada Gempak.
Nora ditemui pada majlis pelancaran pes masakan Secukup Rasa di Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Tidak trauma dengan apa yang berlaku, sebaliknya, kata Nora, dia lebih menghargai kehidupan dan bertindak lebih tepat sekiranya berlaku kecemasan seumpama itu.
“Kita lebih beringat, maknanya kalau apa-apa jadi perlu ke tempat yang betul. Daripada situ kita belajar ala yang perlu buat dan jangan buat,”
Nora yang mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Dr Rushdi Ramli sebelum ini dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Kajang, Selangor selepas mengalami sesak nafas dan ditempatkan di ICU selama tujuh hari. -Gempak