The Marvels: Peminat merungut, Park Seo-joon muncul tak sampai tiga minit
Agensi
November 12, 2023 11:35 MYT
November 12, 2023 11:35 MYT
KETERUJAAN peminat menyaksikan Park Seo-joon dalam The Marvels bertukar menjadi kekecewaan apabila kemunculannya dalam filem itu tidak sampai tiga minit.
Pelakon popular Korea Selatan itu muncul dalam imej komposit pada poster antarabangsa rasmi The Marvels bersama pelakon utama seperti Brie Larson, Teyonah Parris, Iman Vellani dan Samuel L. Jackson. Dia juga mempunyai poster secara solo.
Dalam sekuel Captain Marvel 2019 itu, Larson memainkan semula wataknya sebagai Carol Danvers/Captain Marvel, manakala Parris kembali sebagai Monica Rambeau/Photon dan Vellani sebagai Kamala Khan/Ms Marvel.
Park, 34, yang memainkan watak sekutu Kapten Marvel dan kekasihnya, Prince Yan, dikatakan hanya muncul di skrin tidak sampai tiga minit. The Marvels mempunyai masa tayangan selama 105 minit.
“Saya fikir dia adalah salah seorang watak utama. Saya tidak percaya kemunculannya hanya mengambil tempoh masa yang sama yang diperlukan untuk memasak mi segera.
“Ini hanya menimbulkan kemarahan tentang bagaimana mereka melayan pelakon Asia,” tulis seorang peminat di komuniti Internet Korea Selatan, The Qoo.
Walau bagaimanapun, beberapa peminat menegaskan bahawa Park jelas tidak membawa watak utama, dan gembira penampilannya telah mencetuskan banyak perbincangan.
Mereka membandingkannya dengan nama besar Hollywood yang juga mempunyai penampilan singkat atau cameo di skrin, antaranya Bill Murray sebagai Lord Krylar dalam Ant-Man And The Wasp: Quantumania (2023), dan Russell Crowe sebagai Zeus dalam Thor: Love And Thunder (2022).
Bagi Park, dia tidak kisah dengan masa skrin yang singkat, sebaliknya melihat pada impak watak tersebut secara keseluruhan.
"Semasa penggambaran babak tersebut, saya cuba lebih fokus untuk mempamerkan emosi watak yang diperlukan dengan baik.
"Saya rasa Aladna dan Putera Yan adalah sosok yang penting untuk menunjukkan perkembangan Carol Danvers. Mungkin ada yang menganggap peranan saya dalam filem terlalu pendek, tetapi saya percaya ia memainkan peranan penting dalam keseluruhan naratif The Marvels," katanya.