Marvel umum filem ketiga 'Ant-Man', Peyton Reed kembali jadi pengarah

Afiq Ariffin
November 2, 2019 00:17 MYT
Walaupun tarikh tayangan filem itu masih belum didedahkan, filem Ant-Man yang ketiga dijangka memulakan penggambaran pada akhir tahun 2020 atau di pertengahan 2021. -foto Instagram
MARVEL mengumumkan pembikinan filem Ant-Man yang ketiga dan Peyton Reed disahkan bakal mengarah sekuel filem tersebut sekali lagi.
Pelakon Paul Rudd dijangka kembali sebagai Scott Lang / Ant-Man dalam filem ketiga itu, yang menandakan kemunculan kelimanya memainkan watak adiwira tersebut dalam Marvel Cinematic Universe (MCU).
Rudd sebelum ini membintangi filem Ant-Man pada 2015 dan Ant-Man and the Wasp pada 2018.
Dia juga pernah muncul dalam filem Captain America: Civil War pada 2016 dan Avengers: Endgame pada 2019.
Walaupun tarikh tayangan filem itu masih belum didedahkan, filem Ant-Man yang ketiga dijangka memulakan penggambaran pada akhir tahun 2020 atau pertengahan 2021.
Malah, menurut portal hiburan The Hollywood Reporter, sekuel Doctor Strange in the Multiverse of Madness dan Thor: Love and Thunder akan menjalani penggambarannya terlebih dahulu sebelum Ant-Man 3.
Terdahulu, filem sulung Ant-Man berjaya meraih AS$519.3 juta manakala filem keduanya mengutip sebanyak AS$622.6 juta.
#adiwira #Ant-Man #Marvel Cinematic Universe #MCU #Paul Rudd #Peyton Reed #Scott Lang