Mark Adam hadiahkan ibu sebuah banglo

Hasimi Muhamad
September 2, 2019 13:00 MYT
Pada awal rakaman, Mark menutup mata ibunya sebelum membawa wanita itu membonceng motosikal ke sebuah lokasi berdekatan. - Gambar Instagram Mark Adam
SETIAP anak pasti mempunyai impian untuk membahagiakan kedua ibu bapa mereka, walaupun hasrat untuk memberikan kejutan kepada insan tersayang itu mungkin mengambil masa yang lama.
Namun, apabila ia dilaksanakan, kemanisan tersebut sudah tentu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Demikian yang dapat digambarkan dalam rakaman yang dimuat naik penyanyi, Mark Adam selepas dia berjaya mengukir senyuman buat ibunya, Florenda Macaraig Echivarre.
Menerusi video yang dimuat naik di laman Instagram, penyanyi yang popular dengan lagu “Marry Me” itu membuat kejutan dengan menghadiahkan ibunya sebuah banglo di kampung halamannya di Filipina.
Pada awal rakaman, Mark menutup mata ibunya sebelum membawa wanita itu membonceng motosikal ke sebuah lokasi berdekatan.
Sebaik tiba di sana, Florenda disambut dan diberikan kejutan oleh ahli keluarga yang lain.
Lebih menyentuh hati, Mark memaklumkan impian untuk memberikan keselesaan kepada ibunya itu telah disimpan sejak 23 tahun lalu lagi.
“Mak nanti bila saya dah besar saya akan belikan mak rumah (1996). Terima kasih kepada @ezzpowers kerana menjadikan ia reality.
“Tak pakai topi keledar sebab tempat rumah baharu sangat dekat dengan rumah sewa lama emak di kampung,” demikian tulis Mark di entri tersebut.
Mark turut menzahirkan rasa syukur dan memaklumkan pada awalnya ibunya tidak percaya bahawa rumah tersebut merupakan kediaman baharunya.
Beberapa hari lalu, Mark juga membuat kejutan kepada keluarga apabila “menerbangkan” sebuah televisyen ke kampung halamannya.
#Florenda Macaraig Echivarre #hiburan #Instagram #Mark Adam #Mark Adam beri kejutan #Marry Me #penyanyi
;