Mariah Carey gagal miliki tanda dagang 'Ratu Krismas'

Faida Rahim
November 18, 2022 11:44 MYT
Syarikat milik Carey (gambar) tidak memberi sebarang maklum balas terhadap dakwaan Chan sekali gus menandakan tanda dagangan itu tidak berjaya diperoleh. - Fail/REUTERS
NEW YORK: Permohonan diva terkenal, Mariah Carey untuk mendapatkan tanda dagangan, "Ratu Krismas", "Puteri Krismas" dan "QOC," (singkatan untuk Ratu Krismas) telah ditolak oleh Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat.
Memetik laporan Rolling Stone, tanda dagangan itu sekiranya diluluskan, mampu memberi hak undang-undang menghalang orang awam menggunakan sebarang tajuk lagu, barang niaga dan produk bertema percutian berkaitan krismas.
Susulan tindakan syarikat milik Carey, Lotion LLC yang memohon tanda dagangan itu pada tahun lalu, seorang penyanyi lagu tema musim perayaan (AS), Elizabeth Chan telah memfailkan bantahan pada Ogos untuk menghalang Carey daripada mendapatkan hak pendaftaran.
Chan yang sebelum ini turut menerima gelaran "Ratu Krismas" oleh The New Yorker pada 2018 telah mengkritik diva pop itu atas cubaan menjana keuntungan melalui tanda dagangan.
"Tiada sesiapa pun harus memegang sebarang hak ke atas sesuatu yang dekat di hati seperti perayaan Krismas atau memonopolinya seperti cara Mariah cuba usahakan.
“Itu bukan perkara betul untuk dilakukan. Krismas adalah untuk semua. Ia bertujuan untuk dikongsi, ia tidak bermaksud untuk dimiliki,” kata Chan dalam temu bual bersama Variety.
Tambahnya, bukan sekadar untuk melindungi hak muziknya, Chan mendakwa Carey cuba mendapatkan tanda dagangan ini untuk memonopoli dalam bidang perniagaan lain antaranya pakaian, produk minuman keras, topeng, kolar anjing dan banyak lagi.
“Jika anda mengait baju sejuk 'Ratu Krismas' anda sepatutnya boleh menjualnya di Etsy (dalam talian) kepada orang lain supaya mereka boleh membelinya. Ini (pemohonan hak cipta) satu tindakan gila,” katanya.
Walau bagaimanapun, syarikat milik Carey tidak memberi sebarang maklum balas terhadap dakwaan Chan sekali gus menandakan tanda dagangan itu tidak berjaya diperoleh.
Ini juga bermakna kolar anjing "Princess Christmas" dan minuman telur kocak (eggnog) dengan tanda "QOC" tidak akan berada dalam senarai permintaan untuk musim perayaan Krismas tahun ini.
#Christmas #mariah carey #Elizabeth Chan #Queen of Christmas
;