Maria Farida pilih ahli perniagaan 62 tahun sebagai teman hidup
Gempak
November 27, 2015 10:39 MYT
November 27, 2015 10:39 MYT
Pelakon Maria Farida telah selamat bergelar isteri kepada seorang ahli perniagaan berusia 62 tahun, yang dikenali sebagai Datuk Rahman.
Pasangan mempelai ini dinikahkan dengan sekali lafaz pada pagi Khamis bertempat di Kuala Lumpur Golf Club (KLGC), Bukit Kiara di sini.
Maria telah menerima mas kahwin berjumlah RM2,000 beserta sebentuk cincin.
Bagaimanapun tiada wang dan dulang hantaran diberikan oleh pihak lelaki.
Majlis tersebut dihadiri oleh ahli keluarga serta rakan artis seperti Datin Seri Tiara Jacquelina, Fasha Sandha dan Ferhad.
Maria yang kelihatan anggun mengenakan busana rekaan Cosry itu, turut tersenyum sewaktu upacara menyarungkan cincin.
Difahamkan enam anak Rahman hasil perkahwinan terdahulu turut hadir bagi meraikan hari bahagia bapa mereka.
Pasangan itu juga dikatakan tidak mengadakan majlis persandingan.
Sebelum ini, Maria Farida telah dikurniakan seorang anak lelaki, Mizan Ashley, 18, hasil daripada perkahwinan pertamanya.
Pernikahannya dengan Rahman sekaligus menamatkan status Maria yang telah menjanda selama 10 tahun.
Terdahulu, tercetus kekecohan apabila seorang wanita yang mengakui dirinya isteri Rahman tampil dengan kenyataan di laman sosial mengatakan Maria merampas suaminya.
Maria bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dengan menegaskan pasangan itu bercerai kerana masalah peribadi dan tiada kaitan dengannya.
Malah dia juga mendedahkan sudah bertunang dengan Datuk Rahman namun tidak memaklumkan tarikh pernikahan. - Olahan Semula: Mya Amri
Sumber: Harian Metro