'Mana ada orang nak perdagangkan cinta' - Hasrat Sufian Suhaimi nak kahwin tak kesampaian
Gempak
April 2, 2024 11:55 MYT
April 2, 2024 11:55 MYT
IMPIAN penyanyi Sufian Suhaimi untuk berkahwin pada tahun ini nampaknya tidak tercapai apabila hubungannya dengan wanita bernama Rania Al-Sadat sudah berakhir.
Cincin risik sudah dipulangkan, Sufian turut menjelaskan keputusan itu dibuat secara bersama dan menganggap apa yang jadi disebabkan mereka tidak lagi sehaluan.
“Kami masih berkawan cuma hubungan merisik tu dah tiada dah. Tapi semua pihak menerima dengan hati yang terbuka dan tiada rasa dendam.
“Keputusan tersebut adalah keputusan bersama. Kami tiada bergaduh ke apa sebab kalau ikutkan nak nikah dari tahun lepas cuma ada perkara yang kami rasa perlu bincangkan sebab kami fikir perkahwinan bukan perkara boleh buat dengan tergesa-gesa.
“Boleh dikatakan tidak sehaluan tapi tidaklah sehingga bergaduh besar. Tiada punca orang ketiga dan pulangkan cincin tu sewaktu minggu kedua bulan Ramadan.
“Tiada satu penyesalan pun. Siapa tahu jodoh di tangan Tuhan kemungkinan kita akan bahagia bersama-sama kami pun tak tahu,” jelasnya.
Hubungan Cinta Bukan 'Content'
Dalam pada itu, Sufian turut menegaskan hubungan cintanya dengan wanita itu bukan sekadar content untuk kekal relevan dalam industri.
“Siapa yang cakap percintaan saya ni content semata-mata tak baiklah. Sebab mana ada orang nak memperdagangkan cinta terutama saya yang tak suka berkongsi masalah peribadi.
“Jauh sangat untuk saya ketengahkan hubungan cinta sebagai teknik pemasaran atau cara kekal relevan dalam industri. Tak pernah terlintas dan takkan buat,” katanya.
Sebelum ini, netizen mula membuat spekulasi hubungan mereka apabila mendapati Rania dan Sufian tidak lagi mengikuti akaun masing-masing di Instagram. -Gempak