Mamat Khalid bersyukur, abangnya Datuk Lat semakin stabil
Januari 17, 2017 08:05 MYT
PENGARAH filem terkenal, Mamat Khalid bersyukur abangnya kartunis negara, Datuk Mohammad Nor Khalid,65, atau lebih dikenali Datuk Lat berada dalam keadaan stabil.
Terdahulu Bernama melaporkan Lat dimasukkan ke Hospital Pantai, Ipoh minggu lepas kerana masalah jantung namun dibenarkan keluar Selasa lalu, sebelum dimasukkan semula ke hospital yang sama pada Jumaat dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana wad biasa penuh dengan pesakit lain.
Sementara itu isterinya Datin Faezah Ahmad Zanzali ketika ditemui di hospital berkata, suaminya menerima rawatan di wad biasa dan memerlukan rehat yang secukupnya.
"Semalam (Ahad) dia sedih apabila dapat tahu media mengatakan dia dimasukkan ke ICU sedangkan keadaan dia stabil tetapi sebenarnya dimasukkan ke ICU kerana wad penuh.
"Beri la dia (Lat) masa untuk rehat dan jangan ganggu dia buat sementara waktu ini," katanya.