Mamat Khalid bangga jadi anak Perak, banyak perkenalkan budaya dan cara hidup - Fauziah Nawi
Hafizi Rosli
Oktober 24, 2021 12:37 MYT
Oktober 24, 2021 12:37 MYT
KUALA LUMPUR : Pelakon veteran, Fauziah Nawi menyifatkan Allahyarham Mamat Khalid cukup berbangga menjadi anak Perak dan banyak memperkenal budaya serta cara hidup rakyat negeri itu.
Jelasnya, ini dapat dilihat daripada filem-filemnya yang memaparkan kehidupan masyarakat negeri itu termasuk loghat serta lokasi penggambaran.
"Saya melihat Mamat Khalid berbangga dengan akar tunjang dia. Dia berbangga sebagai anak Perak. Kita harus ada itu. Kita harus ada sikap itu untuk kita jadi lebih besar, untuk dikenali dunia.
"Kita tak perlu jadi orang lain. Mamat banyak perkenalkan budaya dan cara hidup orang Perak yang dia sayang," katanya ketika ditemu bual di Buletin AWANI Khas pada Ahad.
Mamat Khalid banyak perkenal budaya, cara hidup orang Perak - Fauziah Nawi
Jelas Fauziah, setiap kali menonton cerita dan filem hasil karya Allahyarham, ia cukup dekat di hatinya.
Fauziah yang juga rakan sekampung kepada Allahyarham di Sungai Rokam, Ipoh turut menyuarakan sifat keperibadian yang sangat mesra dan mudah didekati.
Walaupun bersenyum dan berketawa, namun banyak nasihat yang kritikan membina diberikannya.
"Dia ada cara dia tersendiri. Walaupun dia bercakap dalam jenaka dan tersenyum, semua orang faham dan ambil serius walau dalam gelaknya.
"Dia mendidik dalam senyum tapi kalau benar-benar faham dan fokus memang pedih, namun ia untuk kebaikan untuk jadikan kita jadi lebih bagus. Dan dia banyak mendidik dalam jenakanya.
Beliau turut menyifatkan pemergiaan Allahyarham sangat dirasai dan sukar dicari ganti.