Mamat Exist didenda RM4,000 kerana ambil dadah

Bernama
Jun 30, 2015 15:59 MYT
Majistret Noor Farah Hazwani Othman turut memerintahkan Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 36, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Bekas vokalis kumpulan Exist, Mamat didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah jenis methamphetamine, Mac lepas.
Majistret Noor Farah Hazwani Othman turut memerintahkan Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamarudin, 36, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah juga memerintahkan Mamat yang memakai pakaian penjara berwarna merah menjalani tempoh pengawasan polis selama tiga tahun.
Dia didakwa mengambil dadah itu di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang, di sini pukul 11 malam pada 26 Mac lepas.
Penyanyi itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 Akta yang sama, membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, dan pengawasan polis tidak melebihi tiga tahun.
Peguam Fadlyzil Ikram Norzailan Shah yang mewakili Mamat memberitahu media bahawa adik angkat Mamat dari Singapura telah membayar denda itu.
Mamat sedang menjalani hukuman penjara selama lapan bulan di Penjara Bentong atas kesalahan sama selepas gagal membayar denda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Raub pada April lepas.
Ketika rayuan, Fadlyzil Ikram memohon hukuman denda paling ringan atas alasan tertuduh mempunyai masa depan dalam bidang nyanyian.
"Anak guam saya telah berjanji untuk tidak mengulangi kesilapannya dan tidak mahu mensia-siakan bakat nyanyian yang ada padanya," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz pula memohon hukuman lebih berat atas alasan tertuduh dikenali ramai dan mempunyai peminat yang mengikuti perkembangan hidupnya.
"Sebagai 'public figure' (orang terkenal) sepatutnya menjadi contoh (role model) kepada pengikut dan peminatnya dan bukan sebaliknya. Tertuduh juga mempunyai satu rekod sabitan lampau atas kesalahan yang sama," katanya.
#Exist #Mamat
;